UMMAH Dakwa Polis Diperalat Dalam Penangkapan Aktivis Himpunan Aman

KUALA LUMPUR | 9 Fev 26 — Pertubuhan Ummah Malaysia mendakwa tindakan polis menahan aktivis dan orang awam dalam satu himpunan aman membantah pembinaan bangunan kuil yang didakwa tidak mematuhi prosedur perundangan sebagai melampau dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, memaklumkan bahawa seramai 20 individu terdiri daripada aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam telah ditahan tanpa alasan munasabah ketika menyertai himpunan aman berkenaan. Antara yang ditahan ialah Naib Pengerusi Ummah, Cikgu Hishmudun Abu Bakar.

Ummah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang disifatkan sebagai gopoh dan tidak selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya Akta Perhimpunan Aman 2012 yang meletakkan tanggungjawab ke atas pihak polis untuk membantu serta memudah cara perhimpunan, bukannya melakukan penangkapan.

Menurut kenyataan itu, pendirian tersebut turut diperkukuhkan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri pada 1 Julai 2025, yang menegaskan bahawa peranan polis adalah memastikan perhimpunan berjalan secara aman dan lancar, jauh sekali daripada mengambil tindakan menahan peserta tanpa justifikasi kukuh.

Ummah turut membangkitkan kemungkinan tindakan polis itu dipengaruhi oleh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa mengarahkan supaya peserta himpunan berkenaan “ditangkap dan dihumban”, satu arahan yang jika benar berlaku, disifatkan sebagai bercanggah dengan prinsip perlembagaan.

“Jika ini benar, maka amat malang apabila polis dilihat telah menjadi alat dan perkakas kepada kuasa eksekutif, sekali gus melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, Ummah merujuk pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara adalah hak asasi yang dijamin secara jelas di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Ummah menegaskan bahawa penangkapan terhadap para aktivis himpunan berkenaan merupakan satu pelanggaran serius terhadap hak dan kebebasan rakyat Malaysia, serta menuntut agar pihak berkuasa memberi penjelasan dan menghentikan sebarang tindakan yang menafikan hak perlembagaan rakyat.

Baru-baru ini, satu perhimpunan aman yang dinamakan sebagai Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (GARAH), berlangusng di Sogo Kuala Lumpur. Namun Polis telah menghentikan perhimpunan tersebut dan menahan 20 peserta perhimpunan. 18 orang daripadanya telah dibebaskan manakala dua orang lagi iaitu Zamri Vinoth masih dtahan untuk tindakan reman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share