ADUN PAS Seru PBT Sediakan Surau Sementara di Bazar Ramadan Sabah

KOTA KINABALU | 10 Feb 26 — Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah diseru agar menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak bazar Ramadan bagi memudahkan peniaga dan pengunjung menunaikan kewajipan ibadah sepanjang bulan puasa.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata bazar Ramadan bukan sekadar lokasi aktiviti ekonomi, sebaliknya turut berperanan sebagai medan menghidupkan syiar Islam dalam suasana penuh keberkatan.

“Dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan orang ramai membeli juadah berbuka, kewajipan solat tidak boleh diketepikan. Justeru, penyediaan kemudahan solat yang berdekatan amat penting,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, kewujudan surau sementara di kawasan bazar akan membolehkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat dengan lebih mudah, teratur dan selesa tanpa perlu tergesa-gesa meninggalkan tapak bazar atau mencari masjid dan surau yang jauh.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan urusan ibadah, malah membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa.

“Apabila ibadah dipermudahkan, insya-Allah rezeki yang diperoleh juga akan menjadi lebih berkat,” katanya.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berharap semua pihak termasuk penganjur bazar dan agensi berkaitan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.

Katanya, bazar Ramadan di Sabah seharusnya bukan sahaja meriah dengan kehadiran orang ramai, tetapi turut dipenuhi nilai takwa serta menjadi contoh pengurusan yang mesra ibadah.

“Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share