Ketua Bersatu Sri Gading Dakwa Muhyiddin Gagal Tangani Krisis Bersatu Johor

BATU PAHAT | 10 Feb 26 — Ketua Bersatu Bahagian Sri Gading, Zamri Ahmad, mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gagal bertindak tegas dalam menangani kemelut dalaman Bersatu Johor, yang kini dikhuatiri mengancam keutuhan parti dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Zamri, hampir dua minggu telah berlalu sejak 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor menggesa Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, meletakkan jawatan susulan kehilangan sokongan majoriti kepimpinan bahagian. Namun, tiada sebarang tindakan atau pelan penyelesaian dikemukakan oleh presiden parti.

“Keadaan ini mencerminkan kelemahan serius dalam pengurusan krisis dalaman, lebih-lebih lagi apabila kemelut berlaku di Johor, negeri kelahiran Muhyiddin sendiri,” kata Zamri dalam kenyataan media.

Beliau menegaskan isu itu bukan perkara kecil, sebaliknya membabitkan soal legitimasi kepimpinan yang boleh menghakis keyakinan ahli dan penyokong terhadap Bersatu jika dibiarkan berlarutan.

Zamri turut mendakwa wujudnya politik dalaman tidak sihat, dengan individu tertentu di sekeliling presiden didakwa menyerang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta menghasut naratif negatif terhadap rakan komponen utama PN, PAS.

“Tindakan menikam dari dalam bukan sahaja melemahkan parti, malah menguntungkan pihak lawan,” tegasnya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan menyelesaikan masalah dalaman Bersatu telah menjejaskan hubungan dengan PAS, yang dikatakan semakin tegang dan tidak terurus. Menurut Zamri, Perikatan Nasional hanya boleh kekal kukuh jika wujud kepercayaan, saling menghormati, dan kesepakatan strategik antara parti komponen, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, Zamri menyatakan kepimpinan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN perlu dinilai semula secara serius demi kelangsungan Bersatu dan masa depan gabungan tersebut.

“Seorang pemimpin yang gagal menyelesaikan krisis dalaman, membiarkan perpecahan berpanjangan serta merosakkan hubungan dengan rakan komponen tidak lagi wajar memegang mandat besar untuk menerajui sebuah gabungan nasional,” katanya.

Bulan lalu, satu sidang akhbar dari 14 Ketua-ketua Bahagian di Johor mendesak Pengerusi BERSATU Johor digantikan atas keperluan memperkukuhkan lagi jentera BERSATU Johor dalam persediaan menghadapi PRN Johor tidak lama lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share