
KOTA KINABALU | 11 Feb 26 — Armada BERSATU Sabah menegaskan sokongan penuh terhadap pembaharuan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi memulihkan keyakinan akar umbi dan memperkukuhkan kedudukan parti sebagai wadah perjuangan rakyat.
Dalam kenyataan media hari ini, Mohammad Hisyam Hazaril, Ketua Armada BERSATU Sabah, menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Ronald Kiandee, dan Datuk Seri Radzi Jidin untuk menerajui kepimpinan tertinggi parti.
“Armada BERSATU Sabah menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Seri Radzi Jidin untuk menerajui kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Katanya.
Armada BERSATU Sabah berpendapat bahawa barisan kepimpinan ini memiliki pengalaman, kewibawaan, dan keberanian politik yang diperlukan untuk memulihkan parti yang kini berdepan krisis kepercayaan serta perpecahan dalaman.
Armada BERSATU Sabah turut mendesak kepimpinan sedia ada, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, dan Tun Faisal Ismail Aziz, supaya mengambil tanggungjawab politik dengan berundur secara serentak bagi memberi ruang kepada kepimpinan baru yang lebih segar dan inklusif.
Langkah ini dianggap penting untuk meredakan ketegangan dalaman dan mengelakkan kerosakan lebih lanjut kepada masa depan parti.
Kenyataan itu juga menekankan bahawa kekalahan BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri Sabah berpunca daripada sokongan yang tidak seimbang daripada kepimpinan pusat, khususnya Presiden parti.
Armada BERSATU Sabah menegaskan bahawa kegagalan memberikan sokongan penuh kepada jentera negeri semasa pilihan raya mencetuskan persepsi wujud sabotaj politik yang menjejaskan kredibiliti Datuk Seri Hamzah Zainudin di peringkat negeri.
Hisyam menambah bahawa hampir semua Armada Bahagian di Sabah menyokong pendirian Ketua-Ketua Bahagian yang hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, seperti yang dinyatakan dalam sidang media sebelum ini.
“Armada BERSATU Sabah juga menegaskan bahawa hampir ke semua Armada-armada Bahagian di Sabah, menyokong penuh pendirian Ketua-Ketua Bahagian yang telah hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Presiden seperti yang dinyatakan dalam sidang media sebelum ini. Tegasnya.
Armada BERSATU Sabah menyeru seluruh ahli parti, khususnya golongan muda, untuk bangkit menyokong perubahan kepimpinan demi kestabilan, kesatuan, dan kelangsungan BERSATU.
“BERSATU perlu diselamatkan, bukan dipertahankan oleh kepentingan individu,” tegas Hisyam dalam kenyataannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.