
MELAKA | 24 Ogos 26 – PAS mengesahkan rundingan dengan parti berkaitan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah dimulakan sejak tiga hari lalu, dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkan perkembangan awal rundingan itu sebagai sangat positif.
Menurut Hadi, persiapan PAS menghadapi PRN Melaka sudah bermula, termasuk perbincangan mengenai bentuk kerjasama dengan parti lain, walaupun belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.
“Persiapan dari pihak parti sudah bermula dan berjalan. Perundingan dengan parti untuk kita nak kerjasama dimulakan, sudah dimulakan dan belum ada keputusan lagi, akan disambung perbincangan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas satu program semalam.
Ditanya mengenai bila rundingan tersebut dimulakan, Hadi berkata perbincangan antara pimpinan pusat sudah berlangsung sejak tiga hari lalu.
Beliau turut memaklumkan perkembangan rundingan setakat ini berada pada tahap yang baik.
“Alhamdulillah, sangat positif. Kita mengambil semangat daripada apa yang berjaya di Johor dan di Negeri Sembilan,” katanya.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PAS melihat perkembangan kerjasama politik antara BN dan PN dalam menghadapi pilihan raya negeri sebelum ini sebagai asas penting dalam menyusun strategi bagi PRN Melaka.
Bagaimanapun, Hadi menegaskan rundingan masih berada pada peringkat awal ketika ditanya mengenai tahap kemungkinan kerjasama antara BN dan PN di Melaka.
“Itu masih peringkat awal. Apa pun dah menandakan prestasi yang sangat baik,” katanya.
Menariknya, apabila ditanya mengenai strategi PAS di Melaka susulan pendekatan berbeza parti itu dalam pilihan raya negeri sebelum ini – menjadi “penjaga gol” di Johor dan menyerang di Negeri Sembilan – Hadi memberikan jawapan ringkas yang membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.
“Wisel permainan belum ditiupkan,” katanya.
Jawapan itu memberi isyarat bahawa PAS masih belum mahu mendedahkan secara terbuka strategi pilihan raya, termasuk kedudukan parti dalam pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama yang bakal dimuktamadkan.
Dalam masa sama, Hadi mengakui tarikh PRN Melaka masih belum diketahui, namun perkembangan rundingan kerjasama sudah mula digerakkan lebih awal oleh pimpinan parti.
Dengan rundingan BN-PN kini berada di peringkat awal, persoalan utama yang masih belum terjawab ialah sejauh mana formula kerjasama yang berjaya dibentuk di Johor dan Negeri Sembilan boleh diterjemahkan di Melaka. @politiko.my