PAS Beri Amaran: Jika Krisis Bersatu Gagal Diselesaikan, PAS Akan Bergerak Sendiri

KUALA LUMPUR | 12 Feb 26 – PAS memberi isyarat tegas bahawa parti itu tidak akan terus terikat sekiranya konflik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan PAS, YB Fadhli Shaari berkata dalam satu klip video yang beredar menerusi applikasi whatsapp, penyelesaian kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) kini bergantung sepenuhnya kepada kemampuan Bersatu meredakan pertikaian dalaman mereka.

Menurut beliau, PAS memandang situasi tersebut dengan kebimbangan serius kerana ia berpotensi menjejaskan gerak kerja dan persiapan menghadapi pilihan raya.

“Penyelesaian Perikatan Nasional ini terletak pada parti Bersatu. Jika mereka tidak dapat menyelesaikan konflik dalaman dan ia mengganggu perjalanan serta persiapan kita, PAS mungkin tidak ada pilihan lain,” katanya.

Beliau menegaskan, PAS tidak mampu terus membawa bersama sebuah parti yang masih diselubungi konflik tanpa noktah yang jelas.

“Kalau keadaan ini berlarutan dan merencatkan perjalanan Perikatan Nasional, saya bimbang PAS terpaksa bergerak berasingan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fadhli menjelaskan bahawa PAS tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu, sebaliknya hanya mampu mengharapkan agar isu tersebut diselesaikan segera demi kestabilan gabungan.

“Kita tidak boleh mencampuri konflik dalaman mereka. Kita hanya boleh mendoakan dan berharap agar ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, turut memberi bayangan bahawa sekiranya kemelut itu terus menjejaskan perjalanan PN, pihak-pihak dalam gabungan mungkin terpaksa membuat keputusan lebih drastik bagi memastikan kelangsungan perjuangan masing-masing.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai amaran terbuka kepada kepimpinan Bersatu bahawa kegagalan menyelesaikan krisis dalaman bukan sahaja mengancam parti itu sendiri, malah boleh menggugat masa depan Perikatan Nasional secara keseluruhan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share