
KUALA LUMPUR | 14 Feb 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara terbuka membidas tindakan memecat Hamzah Zainudin, menyifatkannya sebagai langkah terdesak yang didorong ketakutan politik.
Menurut Saifuddin, pemecatan tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas 16 Ahli Parlimen mendesak Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden dan menyerahkan jawatan kepada Hamzah — satu perkembangan yang disifatkannya bukan kebetulan.
Beliau mempersoalkan motif sebenar tindakan disiplin itu, malah memberi gambaran bahawa langkah tersebut bertujuan menyingkirkan ancaman dalaman yang semakin kuat.
“Jika benar presiden masih kukuh dan mendapat sokongan, tidak perlu bertindak sepantas ini. Tindakan ini jelas menunjukkan kegusaran terhadap pengaruh yang semakin membesar,” katanya dalam kenyataan .
Saifuddin menegaskan, parti politik yang matang tidak seharusnya digerakkan oleh ketakutan kehilangan jawatan. Sebaliknya, tindakan memecat tokoh kanan parti dalam keadaan bergolak hanya menzahirkan kelemahan kepimpinan.
Beliau turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai isyarat bahawa Bersatu kini bergelut dengan krisis keyakinan dalaman yang serius. Pemecatan itu, katanya, bukan sekadar tindakan disiplin, tetapi cerminan kegagalan mengurus perbezaan pandangan secara demokratik.
Semalam, Hamzah dan 16 yang lain dipecat oleh Lembaga Disiplin BERSATU berkuat kuasa serta-merta. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.