Bersatu hari ini dilihat semakin hilang arah dan hala tuju sehingga sanggup mengorbankan perpaduan didalam parti sendiri. Daripada berundur atas desakan akar umbi untuk menyelamatkan parti, Presiden BERSATU lebih rela melihat parti terus berpecah dan melemah.
Sikap ini boleh diibaratkan sebagai “crabs in a bucket” yang membawa maksud jika seorang tidak boleh dapat, mereka yang lain juga tidak boleh dapat. Sikap ini mencerminkan budaya politik yang mementingkan kepentingan diri bukannya perjuangan parti.
Parti tidak dibangunkan atas usaha seorang sahaja, tetapi atas semangat kolektif dan pengorbanan banyak pihak yang lain.
Selain itu, hubungan di dalam PN juga semakin renggang. Ianya bermula dengan beberapa keputusan penting dibuat tanpa perbincangan menyeluruh, termasuklah pelantikan Setiausaha Agung sehinggalah percaturan politik di peringkat negeri seperti krisis kepimpinan di Perlis.
Hubungan dengan rakan gabungan semakin renggang dalam konteks gabungan Perikatan Nasional kerana tindakan dan keputusan kepimpinan sering mengundang kritikan daripada rakan sendiri.
Parti yang tidak lagi dihormati oleh kawan mahupun lawan akan sukar membina keyakinan rakyat.
Kesannya, hubungan BERSATU di dalam PN terutamanya bersama PAS semakin hari semakin dingin walaupun keduanya tidak mahu mengakui secara terus terang.
Pemecatan Timbalan Presiden BERSATU walaupun beliau yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dalam gabungan turut menimbulkan persoalan besar terhadap keutamaan sebenar parti.
Pemecatan yang tidak sah dan tanpa alasan kukuh membuktikan lagi Presiden BERSATU dan pengikutnya sangat terdesak. Mereka bersangka dengan memecat Timbalan Presiden, mungkin sokongan akar umbi akan kembali kepada mereka.
Cuba fikirkan, adakah perjuangan BERSATU kini demi rakyat atau demi kedudukan? Adakah akar umbi sanggup meneruskan perjuangan bersama Presiden yang jelas semakin ditolak rakan, penyokong parti malah dikalangan rakyat?
Selain daripada itu, suara akar umbi kelihatan semakin tidak mendapat tempat didalam parti. Apabila sebahagian besar bahagian di seluruh negara mahukan perubahan kepimpinan sebelum PRU-16, suara ini tidak dihiraukan Presiden BERSATU.
Perubahan yang diminta mencerminkan keresahan akar umbi yang serius. Namun, ia tidak diraikan sebagai proses pembaikan, sebaliknya suara ini di dibungkam dengan rakus.
Ramai pemimpin akar umbi yang bersuara telah dipecat atau berdepan tindakan disiplin. Ada yang sedang menunggu giliran untuk dipecat. Budaya ini mewujudkan suatu keadaan yang tidak lagi tenteram malah ianya telah mematikan proses demokrasi didalam parti.
Imej parti juga semakin terkesan apabila isu melibatkan presiden dan ahli keluarganya yang kini menjadi tumpuan rakyat sehingga imej parti yang dibina baik sebelum ini turut tercalar. Kita bercakap berkenaan integriti, tetapi rupanya ianya hanya retorik.
Adakah akar umbi rasa sokongan rakyat akan semakin bertambah? Sudah tentu, tidak.
Dalam politik moden, persepsi adalah segalanya. Sukar untuk berdepan pilihan raya jika imej parti sentiasa dipersoalkan. Ambil pengajaran sepertimana yang terjadi sebelum ini, parti pemerintah jatuh ditolak rakyat hanya kerana persepsi integriti tidak dapat dijawab dengan sempurna.
Akar umbi wajar bertanya secara jujur, adakah BERSATU akan mampu menambah jumlah wakil rakyatnya pada pilihanraya nanti? Atau mungkin akar umbi sudah sedar bahawa sokongan kepada parti akan semakin merosot dengan semua hal yang telah terjadi?
Jika jawapannya membimbangkan kita semua, maka perubahan mungkin sudah jadi satu keperluan, bukan lagi pilihan.
Kesetiaan dalam politik tidak seharusnya bersifat membuta tuli. Akar umbi berhak membuat penilaian rasional berdasarkan prinsip, masa depan politik dan kesetiaan kepada rakyat, bukan hanya sekadar kepada jenama parti.
Politik sentiasa dinamik. Yang lebih penting ialah mempertahankan nilai, integriti dan perjuangan sebenar. Jika platform sedia ada tidak lagi mencerminkan prinsip tersebut, maka mencari haluan baharu adalah satu tindakan yang berani dan bermaruah.
Jika BERSATU tidak mahu berubah, pertimbangan untuk akar umbi meninggalkan BERSATU terlihat lebih realistik.
Maka saranan untuk reset, dan ‘bina rumah baru’ perlu disahut oleh seluruh akar umbi BERSATU kerana perjuangan demi rakyat perlu diteruskan.
Bak kata Presiden ‘berani kerana benar’.
Ahmad Azarul, Aktivis Politik.
Rencana ini telah disiarkan diruangan facebook beliau pada 20 Feb 2026
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.