Tarif AS: Rafizi Persoal SPRM Mengapa Tidak Siasat PMX, Zafrul

KUALA LUMPUR | 22 Feb 26 – Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat beliau berhubung dakwaan rundingan tergesa-gesa dengan syarikat cip global, namun didakwa tidak mengambil tindakan sama terhadap Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat.

Dalam satu rakaman video terbaharu, Rafizi menyifatkan keadaan itu sebagai “gajah depan mata tak nampak”, merujuk kepada isu perjanjian tarif yang menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dan kini didakwa merugikan negara.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengumumkan bahawa tarif yang dikenakan Presiden AS sebelum ini adalah tidak sah di sisi undang-undang, sebelum tarif baharu pada kadar 10 peratus diumumkan.

Menurut Rafizi, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengapa Malaysia sebelum ini bersetuju dengan kadar tarif 19 peratus, sedangkan negara-negara lain kini hanya berdepan kadar 10 peratus.

“Kalau nak siasat bagaimana perjanjian dibuat secara tergesa-gesa hingga merugikan negara, sepatutnya siasatlah PMX dan juga Zafrul,” katanya.

Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan siasatan terhadap dirinya berhubung dakwaan rundingan dengan syarikat cip global ARM, yang didakwa dilakukan secara tergesa-gesa.

Rafizi mempersoalkan sama ada wujud layanan berbeza dalam tindakan penguatkuasaan, sambil mendakwa bahawa keputusan rundingan tarif itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, termasuk spekulasi bahawa ia dipakejkan sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik melibatkan kepimpinan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz sebelum ini mempertahankan rundingan tersebut sebagai langkah terbaik dalam konteks hubungan perdagangan dua hala.

Setakat ini, pihak SPRM yang diterajui Tan Sri Azam Baki belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan terbaharu itu.

Kenyataan Rafizi dijangka menambah tekanan politik terhadap kerajaan, khususnya dalam isu ketelusan rundingan perdagangan dan persepsi konsistensi penguatkuasaan undang-undang melibatkan tokoh-tokoh politik utama negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share