MP Bachok Tegur Ketua Penerangan BERSATU

KUALA LUMPUR | 25 Feb 26 — Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, menyarankan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz, supaya menghentikan kenyataan terbuka yang berpotensi mengeruhkan suasana dalaman parti dan blok pembangkang.

Dalam kenyataan tegasnya, Syahir menggunakan kiasan agar pimpinan penerangan “berpuasa” daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan persepsi perpecahan. Menurut beliau, sebarang isu dalaman seharusnya diselesaikan melalui saluran parti, bukannya melalui serangan terbuka di media.

“Tugasan kami di Parlimen amat banyak. Isu rakyat dan nasional perlu menjadi keutamaan, bukan perebutan jawatan atau kedudukan kerusi,” katanya distatus facebook beliau.

Syahir turut menggesa agar jentera penerangan dan media sosial parti memperkemas strategi komunikasi dengan menumpukan kritikan terhadap kerajaan Pakatan Harapan/Madani, dan bukannya menyerang rakan sendiri.

Beliau merujuk pelbagai agenda penting yang sedang dan akan dibahaskan di Dewan Rakyat termasuk perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, Rang Undang-Undang Peguam Negara, cadangan had dua penggal Perdana Menteri, isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk melibatkan Tan Sri Azam Baki, serta cabaran ekonomi dan pendidikan negara.

Mengulas kedudukan di Parlimen, beliau menegaskan perkara tersebut wajar diserahkan kepada pucuk pimpinan dan diputuskan secara kolektif, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A(3). Katanya, pandangan semua Ahli Parlimen blok pembangkang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghubungi dan berbincang dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kedudukan Ketua Pembangkang. Difahamkan, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat terdekat untuk diputuskan secara rasmi.

Dengan sidang berbaki hanya beberapa hari lagi, beliau menyeru semua pihak agar memberi tumpuan kepada perbahasan isu rakyat dan nasional.

“Jika ada keinginan membincangkan jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip, ia boleh dirunding secara baik. Bincang secara tertutup, ambil kira pendirian parti dan Ahli Parlimen — bukan melalui serangan terbuka,” katanya, sambil menegaskan bahawa akhirnya kedudukan sebenar akan ditentukan oleh sokongan angka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share