
AMPANG | 26 Feb 26 — Mantan Naib Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Ustaz Mohd Mustaffa Hamzah memberitahu sebab utama BERSATU Bahagian Ampang memutuskan untuk bubar dan keluar parti adalah kerana kecewa dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disifatkan menjadi “puppet” kepada Azmin Ali.
“Kami melihat bahawa Tan Sri Muhyiddin selaku presiden parti bersatu ini, kami melihat beliau ini seolah-olah pecacai kepada Azmin Ali, yang dipuppetkan untuk menggerakkan Bersatu, ini mengikut acuan yang ditentukan oleh Azmin Ali. Katanya kepada politiko.
Beliau turut menyorot pemecatan Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Bersatu, sebagai bukti strategi penguasaan Azmin. Menurut Ustaz Mohd Mustaffa, pemecatan itu dilakukan kerana jawatan Hamzah menjadi halangan kepada usaha Azmin Ali untuk menggunakan parti sebagai platform peribadi.
“Karakter Hamzah dibunuh dengan persetujuan presiden parti sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami tidak mahu terus berada di bawah kepimpinan yang lemah dan dikawal pihak lain,” tegasnya.
Beliau menegaskan, Bahagian Bersatu Ampang dibubarkan kerana parti kini dilihat menjurus kepada kepentingan individu tertentu, bukan lagi kepada perjuangan asal dan dasar parti.
“Kedua, kami melihat Setiausaha Agung mempergunakan kedudukan beliau, bukan untuk memperkukuh dan menguatkan parti. Tetapi beliau menggunakan parti ini sebagai satu platform untuk kepentingan beliau.”
“Bersatu bukan lagi berasaskan perjuangan sebenar, tetapi dijadikan platform untuk menaikkan seseorang. Sebab itu kami bubarkan bahagian dan keluar daripada parti,” jelas Ustaz Mohd Mustaffa.
Keputusan ini mencerminkan ketidakpuasan akar umbi terhadap pengurusan dalaman Bersatu, khususnya dominasi Azmin Ali, serta kelemahan kepimpinan presiden yang dilihat tidak mampu menegakkan dasar parti sendiri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.