“Henti Alih Isu, Tubuh RCI Sekarang” — Desak Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR | 28 Feb 26 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa memanipulasi agensi penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau menegaskan kerajaan tidak seharusnya mengalih perhatian daripada pendedahan laporan media antarabangsa, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada siasatan menyeluruh dan bebas terhadap dakwaan salah guna kuasa dalam institusi negara.

“Ini bukan tadbir urus. Ini adalah satu percubaan penutupan bukti di hadapan mata rakyat. Katanya.

Menurutnya, laporan tersebut tidak menuduh Perdana Menteri terlibat secara langsung, tetapi membangkitkan persoalan serius berhubung dakwaan kebejatan sistemik dalam SPRM dan kemungkinan wujudnya rangkaian berkepentingan yang menggunakan penguatkuasaan sebagai alat tekanan terhadap syarikat serta usahawan.

Fayhsal turut mempertikaikan penubuhan jawatankuasa siasatan khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, dengan menyifatkannya tidak memenuhi prinsip kebebasan kerana berada dalam struktur pentadbiran sedia ada. Justeru, beliau menegaskan hanya RCI mampu memulihkan keyakinan awam dan menjamin ketelusan.

“Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara — seorang yang dilantik oleh Perdana Menteri kerajaan — bukan kebebasan. Ia hanya lakonan semata-mata.

“Kita pernah melihat lakonan yang gagal yang sama sebelum ini. Ujarnya.

Selain itu, beliau mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, digantung tugas sementara siasatan bebas dijalankan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Fayhsal menegaskan bahawa isu sebenar bukan soal cubaan menjatuhkan kerajaan, sebaliknya persoalan integriti institusi dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Mendedahkan rasuah bukan pengkhianatan — menutupnya itulah pengkhianatan sebenar,” katanya.

Antara tuntutan yang digariskan ialah, penubuhan segera RCI bebas terhadap SPRM dan dakwaan rangkaian mafia korporat, Penggantungan sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM sepanjang tempoh siasatan, Jaminan perlindungan kepada wartawan serta pemberi maklumat serta Penghentian tindakan yang disifatkan sebagai menekan pelaporan kepentingan awam.

Terdahulu, Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share