
KUALA LUMPUR | 28 Feb 26— Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, memaklumkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) [D.R.4/2026 dan D.R.5/2026] berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, Mesyuarat Khas Pembangkang pada 26 Februari lalu berpandangan kerajaan perlu meminda beberapa peruntukan penting sebelum kedua-dua RUU itu dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.
“Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memperkenalkan mekanisme yang bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya, sama ada melalui penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, atau melalui suatu kaedah lain yang setara dari segi kebebasan, ketelusan dan keabsahannya. Ujarnya.
Antara cadangan utama ialah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan bagi mengurus pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya. Jawatankuasa tersebut dicadangkan mempunyai kedudukan setaraf Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), termasuk kuasa memanggil Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu tanpa menjejaskan kes mahkamah yang sedang berjalan.
Pembangkang turut menggesa agar pindaan Perlembagaan memasukkan peruntukan semakan kehakiman terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan, selaras dengan prinsip semak dan imbang.
Mengenai had tempoh jawatan Perdana Menteri, Pembangkang menegaskan pindaan tersebut tidak boleh menjejaskan hak yang dijamin Perlembagaan, termasuk budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a).
“Bagi pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri pula, Kerajaan hendaklah memastikan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung. Katanya.
Selain itu, Pembangkang kekal dengan pendirian bahawa bagi mengelakkan pemusatan kuasa, Perdana Menteri tidak seharusnya memegang jawatan Menteri Kewangan secara serentak.
Hamzah menegaskan bahawa usaha pembaharuan institusi tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik, sebaliknya mesti berpaksikan prinsip pemisahan kuasa yang tulen, kebebasan institusi kehakiman dan pendakwaan, serta pemeliharaan peranan Perlembagaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.