
KUALA LUMPUR | 5 Mac 26 — Ketua Bahagian Titiwangsa bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ad Afnan Shaharuddin, mengumumkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa serta-merta, sekali gus mengesahkan beliau bersama beberapa kepimpinan bahagian turut mengambil keputusan meninggalkan parti.
Peletakan jawatan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi bertarikh 4 Mac 2026 yang dihantar kepada Setiausaha Agung parti, Mohamed Azmin Ali.
Dalam surat tersebut, Ad Afnan berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya bagi memberi ruang kepada penyusunan semula gerak kerja organisasi di peringkat bahagian.
“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan yang sewajarnya bagi memberi ruang kepada penyusunan semula gerak kerja organisasi di peringkat Bahagian,” katanya dalam surat berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa pimpinan bahagian serta ketua cawangan mengambil pendirian sama untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada parti.
Antara pimpinan bahagian yang turut berundur ialah Naib Ketua Bahagian, Megat Qazree Zakaria; Setiausaha Bahagian, Ad Afnadi Shaharuddin; Ketua Penerangan, Zulkifli Abd Razak; Bendahari, Nor Azman Mohd Ali serta beberapa ahli jawatankuasa bahagian lain.
Selain itu, beberapa ketua cawangan di bawah Bahagian Titiwangsa juga disenaraikan sebagai mengambil pendirian sama, termasuk Ketua Cawangan Maluri, Kampung Bharu Selatan, Kampung Bharu Tengah dan Kampung Bharu Utara.
Surat tersebut turut disalinkan kepada Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Wilayah Persekutuan, Radzi Jidin, serta Setiausaha Kerja parti.
Ad Afnan dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kerjasama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Titiwangsa.
Dengan berita terbaru ini, BERSATU Wilayah kini menghadapi krisis organisasi terburuk sejak ia ditubuhkan. Perkembangan ini dijangka akan berterusan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.