
KUALA LUMPUR | 8 Mac 26 – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu menyusun semula struktur gabungan itu di negeri berkenaan.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan barisan kepimpinan PN yang kini diterajui Datuk Seri Ir Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan penstrukturan semula organisasi parti di peringkat negeri.
Mas Ermieyati berkata langkah itu juga penting sebagai persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Beliau bagaimanapun menegaskan tetap komited untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan PN di Melaka bagi memastikan gabungan itu mampu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat negeri tersebut.
Mas Ermieyati sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi PN Melaka dan memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera gabungan itu di negeri berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula kepimpinan PN selepas pelantikan Pengerusi PN yang baharu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.