‘Rumah Bangsa Tidak Berdinding’ — Presiden PAS

KUALA LUMPUR | 13 Mac 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan gagasan “Rumah Bangsa” yang dianjurkan oleh UMNO sebagai sebuah “rumah yang tidak berdinding” dan tidak selamat untuk menjadi wadah perpaduan orang Melayu.

Menurut beliau, PAS sebelum ini hanya menghantar pemerhati ke pertemuan tersebut bagi menilai sendiri pihak-pihak yang hadir serta memahami agenda yang cuba diketengahkan oleh penganjurnya.

Katanya, walaupun wakil DAP tidak hadir, PAS mendakwa pertemuan itu tetap memperlihatkan usaha membentuk perpaduan Melayu yang tidak berteraskan Islam.

“Tujuan pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam, sedangkan pada masa sama masih bersahabat dan berwala’ kepada DAP bagi membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadi turut menyentuh isu hubungan politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH), yang menurutnya menyebabkan parti itu didakwa semakin menyimpang daripada prinsip perjuangan asal.

Beliau mendakwa situasi tersebut turut menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli UMNO sendiri, sehingga ada yang meninggalkan parti itu kerana merasakan asas perjuangannya semakin terhakis.

Menurutnya lagi, PAS kekal dengan pendirian bahawa Islam perlu menjadi teras kepimpinan dalam masyarakat Melayu dan negara.

“Tanpa Islam, Melayu berada dalam bahaya dan semua kaum tidak akan selamat,” katanya.

Hadi turut mengaitkan kegagalan Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia sebagai bukti pendekatan lama politik yang didakwa berasaskan sogokan dan retorik lama tidak lagi berkesan, khususnya dalam kalangan pengundi muda.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PAS tidak bersedia menyertai gagasan “Rumah Bangsa” yang ditawarkan oleh UMNO kerana menganggapnya tidak mempunyai asas perjuangan yang kukuh.

Beliau mengibaratkan gagasan tersebut seperti sebuah rumah yang rosak, tanpa bumbung dan dinding sehingga tidak mampu melindungi penghuninya daripada ancaman luar. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share