
KUALA LUMPUR, 6 Okt 25 — Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, tampil mempertahankan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dengan menyifatkan gesaan untuk mengambil tindakan disiplin terhadapnya sebagai langkah tergesa-gesa yang mendahului proses siasatan parti.
Menurut Zainol, gesaan yang dibuat oleh 14 ketua bahagian Bersatu Perak bersama Pengerusi Negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, agar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap Wan Saiful, tidak wajar kerana ia dibuat sebelum sebarang siasatan dijalankan secara adil.
“Gesaan itu bersifat tuduhan dan berkepentingan. Ia mendahului proses siasatan lembaga disiplin yang sepatutnya dijalankan dengan telus dan bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainol menegaskan, sebarang aduan terhadap ahli parti perlu disalurkan menerusi saluran dalaman, bukannya diumumkan secara terbuka melalui media atau media sosial.
“Disiplin parti tidak boleh ditegakkan dengan cara memburukkan sesama ahli di khalayak. Jika benar ada pelanggaran, serahkan kepada lembaga disiplin untuk menilai,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Zainol turut mempersoalkan ketelusan dan kebebasan Lembaga Disiplin Bersatu yang kini dipengerusikan oleh Mohammed Radzi Abdul Manan, kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua tokoh parti — Ahmad Faizal Azumu (naib presiden) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Ahli MPT).
“Adalah lebih baik jika kedudukan Mohammed Radzi dikaji semula daripada mengetuai siasatan atau pendengaran lembaga disiplin kerana dibimbangi berlaku konflik kepentingan,” katanya.
Terdahulu, pada 1 Oktober lalu, Ahmad Faizal bersama 14 ketua bahagian Bersatu Perak menggesa MPT mengambil tindakan terhadap Wan Saiful dan beberapa ahli lain selepas beliau mengkritik Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu sidang media.
Kumpulan itu mendakwa kenyataan tersebut bercanggah dengan dasar dan semangat perpaduan dalam parti, serta boleh menimbulkan budaya tidak berdisiplin dalam kalangan ahli.
Namun bagi Zainol, tindakan menyerang sesama ahli melalui media hanya akan menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat dan melemahkan perpaduan dalam parti menjelang tempoh politik yang semakin mencabar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.