Pecat Hamzah Kerana Jumpa Zahid: Bersatu Tolak Agenda Penyatuan Melayu? Dr Yadzil

KUALA LUMPUR | 18 Mac 26 – Tindakan BERSATU memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin kini menimbulkan persoalan lebih besar iaitu adakah parti itu secara tidak langsung menolak agenda penyatuan Melayu?

Mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub mempersoalkan rasional di sebalik tindakan tersebut, khususnya apabila alasan yang dikaitkan adalah pertemuan Hamzah dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, jika benar pertemuan itu bertujuan menggerakkan usaha penyatuan Melayu, maka tindakan disiplin yang dikenakan menimbulkan isyarat yang bercanggah dengan kepentingan politik orang Melayu sendiri.

“Jika benar ada usaha ke arah penyatuan, maka ia harus dilihat sebagai sesuatu yang positif, bukan dijadikan alasan untuk menyingkirkan individu yang dilihat lebih mampu memainkan peranan tersebut. Katanya.

Beliau turut menolak naratif bahawa wujud campur tangan luar, dengan menegaskan Mahathir Mohamad tidak mempunyai kedudukan dalam parti dan tidak terikat dengan struktur organisasi.

Sebaliknya, katanya, peranan tokoh berkenaan lebih kepada hubungan peribadi dan usaha menggerakkan agenda lebih besar merentas parti, khususnya dalam konteks penyatuan Melayu.

Dalam masa sama, Yadzil menyifatkan apa yang berlaku sebagai petunjuk bahawa agenda penyatuan semakin disempitkan oleh pertimbangan politik dalaman.

“Ini bukan lagi soal individu. Ini soal sama ada kita benar-benar serius mahu melihat orang Melayu bersatu, atau hanya menjadikannya slogan politik,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan yang lebih mendalam mengenai kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada.

“Timbul persoalan, mengapa Mahathir Mohamad memilih untuk berurusan dengan Hamzah, dan bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin?” katanya.

Menurutnya, persoalan itu memberi gambaran bahawa tidak semua kepimpinan dilihat mampu menggerakkan agenda penyatuan secara berkesan.

“Kita harus jujur, usaha penyatuan ini bukan sesuatu yang mudah dan tidak boleh digerakkan oleh kepimpinan yang sempit, ego dan bersifat dendam politik. Ujarnya.

Perkembangan ini sekali gus mencetuskan persoalan sama ada parti berkenaan masih komited terhadap agenda penyatuan Melayu, atau semakin menjauhi pendekatan tersebut dalam percaturan politik semasa. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share