Cerita dua Majlis Iftar yang mengundang tafsiran – menjadi polemik yang berlarutan.
Dalam budaya Melayu, bulan Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia juga bulan merapatkan silaturahim.
Namun dalam dunia politik, adakalanya Majlis Berbuka Puasa bukan sekadar soal kurma, air sirap dan nasi beriani. Ia juga menjadi refleksi kepada dinamika kuasa dan pengaruh – cerminan kekuatan sebenar.
Orang Melayu ada satu peribahasa yang cukup tajam maknanya, “Gendang dipalu kuat, tetapi isi di dalam belum tentu padat.” Dalam politik, kadang-kadang yang paling bersemangat bukan yang paling kuat. Yang paling meriah belum tentu yang paling berpengaruh.
Kerana, pepatah lama yang sering diulang untuk memberikan pedoman dan peringatan, “Jangan pandang pada rupa, pandang juga isi hatinya.” Tetapi hakikatnya, yang lebih penting bukan berapa ramai yang datang, tetapi siapa yang datang – upaya mencipta ruang dan membuka peluang.
Baru-baru ini, dua Majlis Iftar yang berasingan – satu dianjurkan oleh Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan satu lagi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama kelompok pimpinan Azmin Ali – secara tidak langsung menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan pengamal media sosial.
Dua majlis. Dua cerita. Juga dua tafsiran politik yang berbeza. Bukan kerana berlainan menu, tetapi kerana siapa yang duduk di meja itu. Dalam politik, tiada majlis yang benar-benar kosong ‘makna’.
Majlis Ketua Pembangkang: Senyap Tapi Sarat Isyarat
Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan oleh Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Putrajaya dilaporkan oleh media tempatan menghimpunkan lebih seribu tetamu. Tetapi angka itu bukan perkara paling menarik.
Yang mencuri perhatian ialah siapa tetamu VIP yang duduk hadir dan duduk di meja tersebut – sudah tentu pemimpin daripada pelbagai parti politik dan NGO.
Majlis tersebut dihadiri Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Mukhriz Mahathir; Presiden Parti BERJASA, Zamani Ibrahim; serta Presiden Parti Keluarga Malaysia. Turut hadir wakil parti komponen Perikatan Nasional (PN), termasuk Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP) dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, selain wakil daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Juga Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), S. A. Vigneswaran, turut hadir memeriahkan majlis berkenaan bersama Ahli-Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PN.
Dalam ucaptamanya, Hamzah berkata bulan Ramadan menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan parti atau pandangan politik.
Menurut beliau, semangat kebersamaan dan ukhuwah yang terjalin sepanjang Ramadan wajar dipelihara demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Nada ucapan beliau sederhana berbumbu ‘wit and humour’ – dalam seloroh ada kecindannya, tidak berapi-api, tidak penuh retorik. Tetapi dalam politik, kadang-kadang mesej yang paling kuat ialah yang disampaikan secara tenang.
Suasana keseluruhan majlis itu kelihatan tenteram dan harmoni – seperti sebuah hamparan besar yang menghimpunkan pelbagai tokoh dan pemain-pemain politik. Dan dalam politik, pertemuan seperti ini jarang berlaku secara kebetulan.
Ia dirancang sedemikian rupa – kerana ada rupa memang ada harga. Harga pertemuan merentas parti yang agak luar biasa dalam lanskap politik Malaysia yang sering tegang. Ditambah kilatan ‘flash light’ kamera para wartawan sewaktu majlis berbuka dan ketika Datuk Seri Hamzah membuat kenyataan akhbar, memberi gambaran bahawa politik negara semakin rancak dan dinamik.
Reaksi Presiden Bersatu – “Datang Kerana Diundang”
Namun majlis itu turut mengundang reaksi daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin. Bagaimana pun, beliau melihat perkara itu dari sudut berbeza. Menurut beliau, kehadiran beberapa pemimpin parti lain tidak wajar ditafsirkan sebagai perubahan sokongan politik.
Katanya, bulan Ramadan memang masa untuk orang memenuhi undangan berbuka puasa, beramah mesra dan merapatkan silaturahim. Dalam bahasa mudah; datang makan tidak semestinya datang membawa bendera politik dan menyokong.
Dalam politik, satu majlis makan malam tidak semestinya bermaksud perjanjian politik. Dan kenyataan itu memang ada logiknya.
Terkesan, Presiden Bersatu itu, nuansa kata-katanya seolah-olah sedikit beremosi dan cemburu juga dalam memberikan ulasan. Gambaran ribut dalam jiwa Muhyiddin masih belum reda nampaknya.
Apa yang jelas, pemimpin Gerakan dan MIPP bersikap profesional – ‘minyak dan air tidak bercampur’ dan mereka mengasingkan urusan parti dengan hal-hal peribadi.
Tetapi ia juga tidak pernah berlaku secara kebetulan. Kerana politik juga penuh dengan simbol. Kadang-kadang siapa yang sanggup duduk semeja dan berbual mesra lebih bermakna daripada hidangan yang mereka makan.
Oleh; Ramlee Wahab, Sri Gading, Batu Pahat, Johor
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.