
KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan supaya menilai semula pendekatan subsidi bahan api agar lebih melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain mengambil langkah proaktif untuk menstabilkan harga minyak domestik dalam tempoh ketidaktentuan global yang semakin meruncing.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, dalam suasana kenaikan mendadak harga minyak, kerajaan perlu tampil dengan dasar yang lebih tersusun dan berkesan bagi memastikan beban kos sara hidup tidak terus dipindahkan kepada rakyat.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada rantaian ekonomi termasuk peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menekan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang paling terdedah kepada perubahan harga.
“Pendekatan subsidi perlu dinilai semula supaya benar-benar bersasar dan berkesan. Dalam keadaan negara menerima manfaat hasil peningkatan harga minyak global sebagai pengeluar petroleum, perlindungan kepada rakyat mesti menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Irwan menegaskan bahawa walaupun faktor geopolitik seperti ketegangan di Asia Barat memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia, kerajaan tidak boleh sekadar bergantung kepada alasan ketidaktentuan global tanpa memperincikan mekanisme harga domestik.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap persepsi umum bahawa harga minyak naik dengan pantas apabila berlaku kenaikan global, namun mengambil masa lebih lama untuk diturunkan apabila pasaran kembali stabil.
“Kerajaan harus bertindak sebagai pelindung kepada rakyat, bukan sekadar penyampai tekanan pasaran. Kepentingan rakyat mesti diutamakan dalam setiap keputusan ekonomi negara,” katanya.
Untuk rekod, harga RON95, RON97 dan diesel terus melonjak dengan masing-masing kepada RM3.87, RM5.15 dan RM5.52 seliter bermula semalam.
Manakala RON95 bersubsidi (BUDI95) masih kekal pada harga RM1.99 seliter selain harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 (RM396.50) setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.