
KUALA LUMPUR | 1 Apr 26 — Gabungan Nasionalis menggesa tindakan tegas dan menyeluruh diambil terhadap kes pemanduan mabuk, termasuk memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi kes yang melibatkan kematian.
Wakil gabungan tersebut, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan lagi boleh dianggap sebagai kesalahan biasa, sebaliknya satu jenayah serius yang wajar dilihat setara dengan pembunuhan tanpa niat.
“Nyawa manusia tidak boleh terus dipermainkan oleh golongan yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Aminuddin turut mengkritik pendekatan kerajaan yang disifatkan terlalu berlembut, dengan alasan menjaga “kesaksamaan atau kesejahteraan” peminum alkohol sehingga mengabaikan keselamatan awam.
Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah pelaksanaan hukuman penjara mandatori bagi kes kematian akibat pemanduan mabuk, larangan memandu seumur hidup terhadap pesalah serius, serta penguatkuasaan ujian alkohol secara lebih agresif terutama pada waktu berisiko tinggi.
Selain itu, mereka menekankan keperluan penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan bukan bermusim. Operasi sekatan jalan raya, menurut mereka, tidak boleh hanya dijalankan secara sementara, khususnya pada waktu malam apabila risiko pemandu mabuk meningkat.
“Penguatkuasaan mesti menjadi dasar berterusan demi melindungi keselamatan rakyat,” tegas kenyataan itu.
Gabungan Nasionalis turut menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan sistem apabila tragedi berkaitan pemanduan mabuk terus berulang walaupun pelbagai janji dan komitmen telah diberikan sebelum ini.
Mereka menegaskan bahawa tiada kompromi dalam soal nyawa rakyat dan menggesa kerajaan bertindak tanpa tunduk kepada sebarang tekanan yang boleh melemahkan pelaksanaan undang-undang.
“Cukup sudah. Tegakkan undang-undang, lindungi nyawa rakyat. Tagasnya lagi.
Ahad lepas, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu dipercayai berada bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, pads jam 11.40 pagi.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.