Bekas Setiausaha Muhyiddin Dakwa Ada ‘Parasit’ Laga-Lagakan Pemimpin Bersatu

KUALA LUMPUR, 15 Jun 25 – Pegawai kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa wujud segelintir parasit dalam Bersatu yang bertindak melaga-lagakan pimpinan parti itu.

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin mendakwa, parasit yang dimaksudkan adalah kelompok individu yang kalah dalam pemilihan parti.

“Sebenarnya, hubungan antara pemimpin parti di atas adalah baik. Tetapi kerja tak senonoh dua tiga kerat orang inilah yang akan merosakkan parti.

“Dahulunya mereka ‘makan di tangan Muhyiddin’, dilantik ke jawatan-jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

“Tetapi kerana Muhyiddin dah tahu perangai mereka, mereka risau kedudukan mereka sebagai calon dalam PRU akan datang tak lagi terjamin,” katanya, dalam hantaran di media sosial.

“Itu saja lah isu sebenarnya.”

Tambahnya, parasit itu juga sedang mencari tuan baharu untuk bersandar dan bertindak demi kelangsungan mereka dalam politik.

“Jadi mereka bagai parasit cuba mencari ‘tuan’ baharu. Mereka nak tunjuk merekalah hero tuan baharu ini. Untung sabut mereka jadi calon lagi.

“Tetapi kerana mereka ini parasit, tuan baharu mereka juga akan rosak kerana perbuatan mereka yang melaga-lagakan pemimpin.

“Paling tidak, mereka akan sedikit demi sedikit makan tuan. Kerana itulah sifat parasit,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan sumber Bersatu dalam laporan media baru-baru ini yang mengkritik Muhyiddin mengatakan beliau tidak layak memimpin pembangkang.

“Begini sajalah. Cakap fakta pun tak guna dengan orang macam awak ni. Orang-orang yang menjadi ‘sumber’ hantu ni saya kenal. Mereka lupa dunia ni kecil. Wartawan pun kadang-kadang bercakap dengan kita juga.

“Orang-orang yang menjadi sumber ini samada kalah dalam pemilihan di bahagian atau tak diterima di bahagian,” tambahnya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share