“Jangan Angkuh”: Tun Faisal Ditegur

KUALA LUMPUR | 3 Apr 26 — Perikatan Nasional (PN) dilihat berdepan tekanan baharu apabila kritikan terbuka terhadap kepimpinan dalaman mula muncul, dengan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Abdul Aziz menjadi sasaran teguran berhubung sikap dan pendekatan politik yang didakwa menyumbang kepada perpecahan.

Ahli Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan mengingatkan agar Tun Faisal tidak bersikap angkuh dan terlalu yakin bahawa PN akan terus kekal kuat seperti sebelum ini.

Menurut beliau, landskap politik semasa telah berubah dan kekuatan PN tidak lagi berada pada tahap ketika gabungan itu berada di puncak gelombang sokongan rakyat.

“Situasi sudah berubah dan kemungkinan PN tidak akan sentiasa kuat seperti dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairuddin turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya perbalahan dalaman yang disifatkan semakin menjejaskan imej gabungan tersebut di mata rakyat.

Beliau mendakwa sikap terlalu emosional, berdendam dan enggan bekerjasama antara sesama parti hanya akan mempercepatkan kemerosotan sokongan terhadap PN.

“Rakyat hilang keyakinan apabila kita terus berbalah sesama sendiri,” katanya.

Menurutnya, jika PN gagal membina kesepakatan dalaman, impian untuk kembali menawan Putrajaya serta beberapa negeri utama seperti Johor dan Melaka akan menjadi semakin sukar.

Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak dalam blok politik Melayu agar kembali kepada agenda penyatuan yang lebih besar, selaras dengan saranan Mahathir supaya kerjasama merentasi parti diperkukuh.

Katanya, pendekatan eksklusif dan terlalu menjaga kepentingan parti masing-masing menjadi penghalang utama kepada usaha tersebut.

“Jika tidak boleh bersama di bawah satu bumbung, jangan pula menyekat kerjasama dari luar,” ujarnya.

Khairuddin turut memberi amaran bahawa sikap kepimpinan tertentu, termasuk yang dikaitkan dengan Tun Faisal, berpotensi meranapkan peluang PN untuk kembali membentuk kerajaan dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan bahawa hanya dengan mengetepikan perbezaan dan mengutamakan matlamat bersama, sokongan rakyat khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dapat dipulihkan.

“Cukuplah berbalah. Buang yang keruh, ambil yang jernih jika mahu perjuangan ini terus relevan,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Abdul Aziz, menyarankan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin dan kumpulan pemimpin yang menyokongnya supaya melupakan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menyarankan kumpulan tersebut seharusnya “move on” dan membawa bersama penyokong mereka untuk berkolaborasi dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Bawa bersama semua ‘Geng SD’ (akuan bersumpah) dan penyokong yang ada. Masuk parti yang sudah sedia ada, dan sudi terima melalui Rumah Bangsa,” katanya memetik laporan media. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

PUTRA Kutuk Pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei

Ibrahim Ali berkata pembunuhan terhadap pemimpin sebuah negara berdaulat merupakan pelanggaran serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Artikel 2(4) yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kemerdekaan politik mana-mana negara.
Read More
Total
0
Share