
KUALA LUMPUR | 3 Apr 26 — Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan bahawa isu pelantikan Ketua Pembangkang akan dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan mengenainya kini sedang berjalan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat selepas mengambil kira pandangan semua parti komponen dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, proses itu memerlukan penelitian kerana ia melibatkan keseluruhan blok pembangkang, bukan sekadar satu parti sahaja.
“Pelantikan Ketua Pembangkang akan dibincangkan bersama semua pihak kerana ia melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang. Kita akan pastikan keputusan dibuat sebelum Parlimen bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri, di sini pada Jumaat.
Abdul Hadi menegaskan bahawa walaupun Pas merupakan parti terbesar dalam PN, pandangan rakan komponen tetap diberi keutamaan bagi memastikan keputusan yang dicapai bersifat kolektif dan tidak menimbulkan pertikaian.
Dalam masa sama, beliau mengakui proses tersebut mungkin mengambil sedikit masa kerana perlu melalui rundingan dalaman yang teliti, namun yakin ia dapat diselesaikan sebelum sidang Parlimen bermula.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang baharu dijangka dibuat selepas beberapa proses dalaman selesai, dengan Pas disebut sebagai parti yang akan mengisi jawatan tersebut.
Sehingga kini, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sementara menunggu keputusan rasmi dimuktamadkan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.