Dunia Perlu Bangkit Henti Genosid Israel Di Palestin – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 28 Sep 25 — Dunia perlu berani bangkit menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap rakyat Palestin, seru Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menegaskan,  ketika dunia berbicara soal hak asasi manusia dan kebebasan, Israel masih bebas melakukan genosid yang tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin.

“Saya merayu, menuntut dan mendesak anda semua (seluruh pemimpin dunia) menghentikan cubaan keji Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk merampas Gaza,” katanya melalui hantaran video yang dimuat naik di Facebook miliknya, hari ini.

Negarawan yang berusia 100 tahun itu berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga harus menubuhkan satu pasukan pengaman untuk dikerahkan melindungi rakyat Palestin dari kekejaman Israel.

Menurutnya, kekejaman Israel terhadap Palestin tidak mempunyai sebarang alasan dengan beliau turut menyuarakan keyakinan lebih ramai pemimpin dunia bersedia mengakui perkara itu.

“Kita sering berbicara tentang kemanusiaan, tentang hak asasi manusia dan kebebasan iaitu semua nilai yang menjadi asas dunia bertamadun.

“Namun, kita masih membiarkan Israel memijak semua prinsip itu dengan bebas, angkuh dan penuh penghinaan terhadap moral serta tamadun manusia,” tegasnya

Harapan juga katanya mula terbit selepas melihat peningkatan sokongan dalam kalangan negara-negara Eropah untuk mengiktiraf negara Palestin.

Negara tersebut akhirnya mengakui berlakunya genosid terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh Israel dan ia mesti dihentikan, kata Dr Mahathir.

“Namun, sokongan AS terhadap Israel amat jelas, mereka bahkan menghalang pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas daripada menghadiri Perhimpunan Agung PBB dengan menolak visanya.

“Tindakan itu jelas mengkhianati janji AS semua pemimpin dunia akan dibenarkan menghadiri sidang PBB yang berpusat di New York,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share