
KUALA LUMPUR | 4 Apr 26 – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil melontarkan kritikan keras terhadap kepimpinan Petronas apabila mendakwa syarikat petroleum negara itu tidak mendedahkan keuntungan sebenar ketika harga minyak dunia meningkat.
Beliau mempersoalkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang menurutnya hanya menekankan peningkatan kos operasi, tanpa memperincikan berapa keuntungan tambahan yang diperoleh hasil lonjakan harga minyak dan gas di pasaran global.
“Isunya bukan kos semata-mata. Selepas tolak kos, berapakah keuntungan tambahan Petronas daripada eksport minyak dan gas akibat kenaikan harga dunia?” katanya.
Isham turut mendakwa naratif yang dibawa seolah-olah cuba menggambarkan Petronas tidak meraih manfaat besar, sedangkan realitinya Malaysia masih mendapat keuntungan daripada eksport minyak bernilai tinggi serta gas asli cecair (LNG) yang kini mencatat harga tinggi susulan krisis antarabangsa.
Menurut beliau, kegagalan menjelaskan angka keuntungan sebenar menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan syarikat itu dalam mengurus hasil negara.
Dalam nada lebih tajam, Isham mengaitkan situasi tersebut dengan beban yang terpaksa ditanggung rakyat apabila harga bahan api meningkat, meskipun Petronas didakwa meraih keuntungan berpuluh-puluh bilion ringgit.
“Ini yang berlaku apabila keuntungan disimpan, tetapi beban ditanggung rakyat,” katanya, merujuk kepada konsep “privatize profit, nationalize loss”.
Beliau juga mempersoalkan sama ada wajar Petronas mengurangkan tenaga kerja dalam keadaan syarikat didakwa mencatat keuntungan besar.
“Kalau untung berpuluh bilion, kenapa perlu buang ribuan pekerja?” soalnya.
Selain itu, Isham mengemukakan beberapa persoalan langsung kepada kerajaan dan Petronas, termasuk jumlah sebenar keuntungan tambahan yang diperoleh, bagaimana hasil tersebut dibelanjakan, serta ke mana perginya bahagian keuntungan yang disimpan syarikat.
Kritikan turut diperluas kepada naratif subsidi kerajaan, apabila beliau mempertikaikan angka RM4 bilion sebulan yang sering disebut, dengan mendakwa ia hanyalah “kos kesempatan” dan bukan perbelanjaan sebenar kerajaan.
Dalam kenyataan sama, Isham tidak menolak kemungkinan wujud kelemahan kepimpinan dalam pengurusan syarikat strategik negara itu, sambil menyifatkan keutamaan sepatutnya diberikan kepada kepentingan rakyat, bukan sekadar mempertahankan angka atau dasar sedia ada.
Kenyataan tersebut dijangka menambah tekanan terhadap kerajaan dan Petronas untuk tampil memberikan penjelasan lebih terperinci, khususnya dalam isu keuntungan sebenar di sebalik kenaikan harga minyak global serta kesannya kepada rakyat.
Untuk rekod, Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika di Dewan Rakyat, mengumumkan bahawa Petronas akan melakukan pengurangan kira-kira 5,000 kakitangan dibuat antaranya atas faktor pertindihan fungsi dalam tenaga kerja. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.