
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 25 — Petronas sedang mengkaji semula kecekapan operasi dan kos penyelenggaraan, operasi lapangan, pengurusan logistik,dan pemerolehan susulan aliran harga minyak yang rendah.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab berkata syarikat minyak itu menjangka aliran harga minyak yang rendah ketika ini akan berterusan dan berada dalam jajaran US$64 hingga US$65 setong.
“Kami sedang mengkaji semula kecekapan operasi dan kos kami (kerana) cara kami menjalankan operasi sepanjang 50 tahun yang lalu tidak semestinya dapat memastikan kami berdaya saing pada tahun-tahun akan datang,” katanya semasa sesi taklimat bersama pengarang media, lapor Astro Awani baru-baru ini.
Mohd Jukris berkata tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) juga telah menjejaskan rantaian bekalan global.
“Ia (pengenaan tarif) mempengaruhi cara kami menjalankan perniagaan. Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan adalah menanganinya secara dalaman dan mengendalikan kos dengan lebih cekap,” katanya.
Mohd Jukris berkata syarikat minyak nasional itu sedang menimbang keperluan untuk menjalin perkongsian bagi mengurangkan pendedahan risiko, khususnya bagi aset yang memerlukan pelaburan modal tinggi tetapi menawarkan nilai yang terhad.
“Perkongsian membawa bukan sahaja modal tetapi juga falsafah dan piawaian operasi baharu. Dalam industri ini, kita tidak boleh beroperasi secara berasingan.
“Kita perlu mengenal pasti rakan kongsi yang boleh mengendalikan aset tertentu dengan lebih cekap berbanding apa yang kita boleh lakukan. Ini adalah cara terbaik untuk memanfaatkan nilai maksimum.
“Kami telah melakukan ini sebelum ini — di Mexico, sebagai contoh, dan di Azerbaijan beberapa tahun lalu,” katanya. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.