Kos Operasi Melonjak, Industri Bas Persiaran Rayu 6,000 Liter Diesel Sebulan

KUALA LUMPUR | 8 Apr 26 – Industri bas persiaran kini berada di bawah tekanan hebat apabila tiga persatuan utama tampil merayu kerajaan menyediakan kuota subsidi diesel sehingga 6,000 liter sebulan bagi setiap bas, sebagai langkah menyelamatkan operasi yang semakin terhimpit.

Rayuan itu disuarakan dalam satu sidang media di Gombak yang menghimpunkan lebih 50 pengusaha dan pemandu, mewakili Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Persatuan Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan Kedua (GAPP) dan Persatuan Van Persiaran Malaysia (PVPM).

Menurut Pengerusi PPBBM, Mahazir Mat Din, kenaikan harga diesel yang berterusan telah menjejaskan keuntungan syarikat, malah menyebabkan sebahagian pengusaha menanggung kerugian setiap kali kenderaan beroperasi.

“Kami baru pulih daripada pandemik, tetapi kini berdepan lonjakan kos bahan api. Setiap perjalanan boleh menyebabkan kerugian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tanpa campur tangan kerajaan, industri tersebut berisiko lumpuh, lebih-lebih lagi apabila pengusaha masih menanggung komitmen pinjaman kenderaan dan kos penyelenggaraan yang meningkat.

Presiden GAPP, Abdul Aziz Ismail Gani pula menyifatkan subsidi diesel sebagai keperluan mendesak bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan domestik, yang banyak bergantung kepada perkhidmatan bas persiaran.

Sementara itu, Setiausaha PPPBM, Mahadi Izady Maharazi mendedahkan bahawa antara 80 hingga 85 peratus pelanggan bas persiaran adalah rakyat tempatan, termasuk rombongan sekolah dan jabatan kerajaan. Namun, kenaikan kos operasi antara 25 hingga 40 peratus kini menyebabkan banyak tempahan terpaksa dibatalkan.

Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pengusaha, malah turut memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan dalam kalangan pemandu dan kakitangan industri.

Pengusaha turut mencadangkan agar van persiaran diberikan kuota subsidi sekitar 4,000 liter sebulan sebagai langkah tambahan bagi menstabilkan kos operasi keseluruhan sektor tersebut.

Desakan ini muncul ketika harga diesel terus meningkat dan tekanan kos semakin dirasai di seluruh rantaian industri, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa tanpa bantuan segera, sektor pengangkutan pelancongan berdepan risiko pengecilan operasi atau penutupan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Naik Lagi, Harga Diesel Cecah RM6.72 Seliter

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kenaikan tersebut didorong oleh lonjakan harga minyak mentah global sejak beberapa minggu lalu, susulan krisis tenaga di Asia Barat yang turut meningkatkan kos logistik dan insurans.
Read More
Total
0
Share