Himpunan Alam Melayu yang berlangsung pada 1hb – 4 April 2026 di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini bukan sekadar satu acara atau deklarasi biasa, tetapi merupakan satu isyarat strategik yang semakin sukar untuk diabaikan.
Ia mencerminkan kesedaran yang semakin mendalam dalam kalangan dunia Melayu dan umat Islam di rantau ini bahawa perpecahan bukan lagi satu pilihan yang boleh ditoleransi.
Sebaliknya, penyatuan telah menjadi satu keperluan strategik untuk mempertahankan kedudukan politik, kekuatan ekonomi dan kelangsungan masa depan.
Apa yang lebih signifikan, himpunan ini turut disertai oleh pelbagai tokoh dan pemimpin Melayu dari dalam dan luar negara, termasuk Hadi Awang, Ahmad Samsuri Mokhtar, Annuar Musa, Hamzah Zainudin, Mohd Nassuruddin Daud serta Mukhriz Mahathir, di samping kehadiran tokoh agama dan sarjana dari rantau Nusantara.
Walaupun bukan semua kepimpinan Melayu arus perdana hadir, penyertaan ini cukup untuk menunjukkan bahawa kesedaran terhadap keperluan penyatuan bukan lagi bersifat terpencil, tetapi sedang berkembang sebagai satu gerakan yang lebih luas merentasi sempadan negara dan kepartian.
Dari sudut analisis politik, keadaan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap keperluan perpaduan sudah melangkaui batas parti, tetapi masih belum diterjemahkan kepada penyelarasan strategik di peringkat kepimpinan.
Apa yang lebih menarik, mesej ini sebenarnya selari dengan peringatan yang telah lama dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Selama ini, apabila beliau mengangkat gagasan “payung besar Melayu”, ramai yang melihatnya sebagai retorik politik semata-mata.
Namun, Himpunan Alam Melayu telah membuktikan bahawa apa yang disebut di peringkat nasional kini turut bergema di peringkat serantau.
Ini bukan kebetulan, tetapi refleksi kepada satu realiti yang semakin jelas bahawa tanpa kesatuan arah strategik, kekuatan kolektif akan terus terhakis.
Namun di sinilah terletaknya paradoks utama yang perlu kita akui dengan jujur. Di pentas kita bercakap tentang perpaduan, tetapi di lapangan kita masih beroperasi dalam kerangka persaingan yang berpecah.
Pelbagai inisiatif muncul dengan niat yang mungkin baik, namun bergerak secara berasingan tanpa satu arah yang jelas. Hakikat bahawa sebahagian pemimpin hadir manakala sebahagian lagi tidak, mencerminkan realiti sebenar politik Melayu hari ini.
Kesedaran tentang keperluan bersatu sudah wujud, tetapi kesediaan untuk benar-benar menyatukan kekuatan masih belum menyeluruh.
Keadaan ini akhirnya bukan sahaja gagal mengukuhkan perpaduan, malah memperkukuh fragmentasi yang sedia ada. Persoalannya bukan lagi tentang kekurangan idea atau kepimpinan, tetapi tentang kegagalan untuk menyelaraskan strategi.
Dalam kerangka teori politik, keadaan ini mencerminkan fenomena kegagalan penyelarasan elit (elite coordination failure) yang membawa kepada kerugian kolektif.
Himpunan Alam Melayu telah memberi satu mesej yang amat jelas: perpaduan tidak akan terhasil dengan lebih banyak platform, tetapi hanya akan tercapai apabila wujud satu arah dan satu penyelarasan yang jelas.
Dalam konteks ini, gagasan “payung besar Melayu” perlu difahami bukan sebagai simbol politik, tetapi sebagai satu keperluan strategik. Ia merupakan sebuah mekanisme institusi yang berfungsi sebagai pusat penyatuan arah strategik yang mampu menghimpunkan kekuatan yang sedia ada tanpa menghapuskan kepelbagaian pandangan.
Jika keadaan ini tidak ditangani, kita akan terus terperangkap dalam kitaran yang sama: bercakap tentang perpaduan tetapi bergerak dalam perpecahan.
Maka sudah tiba masanya untuk kita bertanya dengan jujur kepada diri sendiri: adakah kita benar-benar mahu bersatu, atau sekadar mahu dilihat sebagai memperjuangkan perpaduan?
Kerana dalam realiti politik, satu hakikat tidak pernah berubah. Yang bersatu akan menentukan arah masa depan, manakala yang berpecah akan kehilangan keupayaan untuk mempengaruhi hala tuju negara.
Dr Armin Baniaz Pahamin, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.