
SHAH ALAM |28 Apr 26 – PAS Selangor menegaskan pendirian tegas supaya Kerajaan Negeri mematuhi jaminan yang telah diberikan dalam sidang Dewan Negeri Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, perkara tersebut dibangkitkan ketika sidang media.
Menurut beliau, pihak EXCO dalam Dewan telah memberi jaminan bahawa tiada ladang babi baharu akan dibenarkan beroperasi di Selangor. Dalam masa sama, operasi sedia ada hanya akan diteruskan sehingga ternakan mencapai usia matang sebelum ditamatkan.
“PAS Selangor mengambil pendirian yang jelas bahawa Kerajaan Negeri mesti menepati janji yang telah dinyatakan di dalam Dewan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang tempoh peralihan tersebut, tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap isu pencemaran, khususnya melibatkan sungai, alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Perlindungan terhadap alam sekitar dan masyarakat sekitar mesti diberi keutamaan sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, PAS Selangor akan terus memantau pelaksanaan komitmen itu bagi memastikan segala janji yang dibuat benar-benar ditunaikan demi kesejahteraan rakyat serta keharmonian masyarakat di negeri ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.