Rain Rave : PAS Persoal Dasar Dan Arah Pelancongan Negara

KUALA LUMPUR | 3 Mei 26 – Kontroversi penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang kini berkembang menjadi persoalan lebih besar apabila PAS secara terbuka mempertikaikan dasar serta hala tuju pelancongan negara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu berbangkit bukan sekadar penganjuran acara tersebut, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam perancangan dasar pelancongan serta cara kepimpinan kementerian menangani kritikan awam.

Beliau menyifatkan respons Menteri Pelancongan, Seni dan Warisan, Datuk Seri Tiong King Sing terhadap kritikan sebagai tidak mencerminkan kewibawaan seorang anggota Kabinet, apatah lagi apabila kebimbangan masyarakat dilihat dilayan secara sinis.

“Seorang menteri tidak boleh bersikap defensif atau memperlekeh pandangan awam. Tanggungjawab beliau adalah memimpin dengan kepekaan budaya, nilai perpaduan dan rasa hormat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, kritikan terhadap Rain Rave bukan bersifat melampau, sebaliknya menyentuh isu asas seperti kesopanan awam, kesesuaian lokasi, keselamatan serta imej yang ingin dibawa Malaysia kepada dunia.

Dalam masa sama, PAS melihat penganjuran acara berkonsepkan hiburan terbuka itu sebagai petanda ketandusan idea dalam mempromosikan pelancongan negara.

“Malaysia memiliki kekuatan besar dari segi warisan, budaya, alam semula jadi dan keharmonian masyarakat. Namun pendekatan yang diambil kini seolah-olah bergantung kepada gimik dan konsep yang diimport tanpa identiti jelas,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran acara seperti itu diangkat sebagai program utama kerajaan, lebih-lebih lagi dalam konteks promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, program yang berpotensi mencetus kontroversi lebih sesuai dikendalikan secara terhad oleh pihak swasta, bukan dijadikan wajah rasmi negara di pentas antarabangsa.

Mengulas lanjut, Takiyuddin menegaskan bahawa kejayaan sektor pelancongan tidak boleh dinilai semata-mata melalui kehadiran pengunjung, sebaliknya perlu diukur berdasarkan kualiti pelancong, impak ekonomi jangka panjang serta pemeliharaan identiti negara.

“Persoalan pokok hari ini ialah sama ada kepimpinan kementerian benar-benar memahami peranan mereka dalam membina imej Malaysia, atau sekadar mengejar publisiti jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, PAS menggesa kerajaan menilai semula dasar pelancongan negara agar lebih berteraskan identiti tempatan, selain memastikan pendekatan yang diambil lebih matang, inklusif dan selari dengan nilai masyarakat Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share