
KUALA LUMPUR | 3 Mei 26 – Gagasan “Reset” yang dibawa Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu segera diterjemahkan kepada bentuk dasar yang jelas jika mahu meyakinkan rakyat dan membina sokongan lebih luas, kata penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali.
Beliau berkata, idea Reset berpotensi menjadi satu bentuk reformasi politik yang tersusun, namun ia tidak boleh kekal sebagai slogan semata-mata tanpa kerangka pelaksanaan yang konkrit.
“Dalam konteks masyarakat bermaklumat hari ini, rakyat mahu lihat apa sebenarnya yang dibawa. Reset itu mesti ada model, ada kerangka, dan bagaimana ia hendak dilaksanakan,” katanya kepada politiko.
Mazlan menjelaskan, secara konsep Reset tidak jauh berbeza dengan idea reformasi atau islah yang menekankan pembetulan sistem ke arah lebih baik. Namun, kekuatan gagasan itu bergantung kepada pendekatan dan pembingkaian politik yang dibawa.
“Hamzah perlu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Istilah reformasi sudah digunakan pihak lain, jadi Reset ini adalah penjenamaan baharu. Tetapi kandungan itu lebih penting daripada nama,” ujarnya.
Menurut beliau, mana-mana gagasan politik juga perlu disertakan dengan cadangan dasar yang jelas sebagai alternatif kepada dasar kerajaan, bukan sekadar bersifat kritikan.
“Kalau sekadar kritik tanpa solusi, rakyat tidak akan yakin. Reset juga begitu – mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar yang jelas,” katanya.
Sehubungan itu, Mazlan mencadangkan pendekatan seperti pembentukan “kerajaan bayangan” atau shadow government bagi memperkukuh kredibiliti pembangkang dengan menyediakan cadangan dasar mengikut portfolio.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan Reset bergantung kepada keupayaannya menawarkan penyelesaian praktikal terhadap isu semasa termasuk pendidikan, kebajikan penjawat awam dan institusi kehakiman.
“Contohnya isu guru, kebajikan penjawat awam atau institusi kehakiman – apa pembaharuan yang ditawarkan? Itu yang rakyat mahu lihat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau melihat Reset turut mempunyai kaitan dengan usaha membentuk konsensus nasional baharu yang menekankan perpaduan dan kerjasama merentas kaum serta ideologi politik.
“Matlamat akhirnya ialah membina sebuah negara yang stabil dan maju tanpa terikat dengan perbezaan sempit,” katanya.
Mazlan berpandangan, Reset berpotensi menjadi gagasan politik yang signifikan, namun kejayaannya bergantung kepada keupayaan untuk keluar daripada retorik dan diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar yang nyata. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.