KM Melaka Perlu Buat Laporan Polis, Kata Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 19 APR 25 – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh wajar membuat laporan polis bagi membersihkan namanya susulan tuduhan kononnya terlibat dengan penahanan bekas Timbalan Speaker Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pembangkang Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, laporan itu penting bagi pihak berkuasa membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu.

“Satu perkara yang serius dan memalukan jika benar ketua menteri Melaka dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermaruah ini.

“Pihak ketua menteri sepatutnya segera membuat laporan polis jika benar beliau tidak ada kaitkan dengan rakaman audio ini dan dan perancangan yang terkutuk ini,” katanya, dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Mohd Yadzil susulan tersebarnya rakaman audio berdurasi 3:57 minit yang didakwa mirip suara Ab Rauf.

“Laporan ini penting agar pihak berkuasa dapat membuka kertas siasatan untuk membersihkan nama baik ketua menteri dari fitnah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menggesa pihak polis serta pihak berkuasa SPRM segera menyiasat kes ini dengan telus dan tuntas. Siasatan forensik wajib dibuat untuk memastikan kesahihan video itu dan mengenal pasti siapa suara individu tersebut,” katanya.

Pejabat Ketua Menteri Melaka sebelum ini menegaskan Ab Rauf tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Malah dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu berkenaan dianggap sebagai tidak berasas, spekulatif, dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share