“Kami Tanam, Orang Lain Tentukan Harga”- 90% Pesawah Tangguh Tanam Padi

Foto – Pejabat Ahli Parlimen tasek Gelugor

ALOR SETAR | 4 Mei 26 – Keputusan hampir 90 peratus pesawah menangguhkan penanaman padi bagi musim 1/2026 bukan lagi sekadar isu bermusim, tetapi petanda jelas bahawa sistem pengeluaran makanan negara sedang berada dalam keadaan rapuh.

Di kawasan jelapang utama di bawah Muda Agricultural Development Authority (MADA), pesawah berdepan tekanan berganda. kekangan air yang semakin kritikal dan kos operasi yang melonjak tanpa kawalan.

Namun di sebalik angka besar yang sering disebut, pesawah mendakwa realiti sebenar jauh berbeza daripada naratif rasmi.

Presiden Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abd. Rashid Yob dalam ucapannya menjelaskan bahawa angka subsidi yang sering diumumkan tidak mencerminkan apa yang benar-benar diterima di lapangan.

“Selalu disebut subsidi padi RM2.62 bilion setahun, atau RM4,300 sehektar. Tetapi itu bukan duit yang sampai terus kepada petani. Dalam RM4,300 itu ada subsidi baja, benih dan pelbagai insentif—hanya kira-kira 30% sahaja yang benar-benar sampai kepada petani dalam bentuk input.”

Menurut beliau, sebahagian besar manfaat tersebut mengalir kepada pihak lain dalam rantaian bekalan:

“Siapa yang dapat? Pihak-pihak tertentu melalui pembekal baja, racun dan benih. Jumlah nampak besar, tetapi masalah tetap sama—baja lewat, racun lewat, benih tidak berkualiti masih berlaku.” Ujarnya dalam perhimpunan menuntut harga lantai padi dinaikkan.

Dalam keadaan kos yang terus meningkat, pesawah kini melihat usaha mereka semakin tidak berbaloi:

“Kita kira secara mudah pun, di hujungnya kita tak dapat apa-apa.”

Lebih membimbangkan, keputusan untuk menangguhkan penanaman bukan dibuat secara ringan.

“Ada antara kita yang sudah 5, 10, 20, malah 40 tahun buat bendang. Ini dah jadi darah daging. Tetapi kita terpaksa sebut nak berhenti sebab kita tahu, di hujungnya kita tak dapat apa.”

Isu paling besar, menurut pesawah, adalah soal kawalan dan keadilan dalam rantaian nilai:

“Kita ini tanam padi, tapi orang lain letak harga pada kita. Kita tak jadi tuan kepada padi atau beras kita sendiri. Itu masalah paling besar.”

Keadaan ini menimbulkan persoalan lebih besar terhadap struktur keseluruhan industri padi negara.

Apabila majoriti pesawah memilih untuk tidak menanam, ia bukan sekadar keputusan individu tetapi isyarat bahawa sistem sedia ada tidak lagi mampu menjamin kelangsungan mereka.

Dan jika kelompok yang menjadi tulang belakang bekalan makanan negara sendiri mula berundur, persoalannya kini bukan lagi tentang hasil tuaian tetapi sejauh mana negara benar-benar memahami krisis yang sedang berlaku di sawah.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dilaporkan menyeru rakyat bercucuk tanam sayuran sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Kenyataan tersebut dibidas oleh Ahli parlimen Tasek Gelugor, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menyifatkan walaupun usaha menggalakkan rakyat bercucuk tanam adalah sesuatu yang baik, pendekatan tersebut tidak mampu menangani cabaran sebenar yang dihadapi sektor makanan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share