Sistem Tekan Petani: “Kami Bagi Semua Orang Makan, Tapi Kami Terpinggir” — Fitri Amir

Foto : facebook FKMM

KUALA LUMPUR | 4 Mei 26 — Di saat negara meraikan Hari Pekerja, satu suara dari sawah tampil mengingatkan realiti yang sering dipinggirkan: pekerja makan gaji, tetapi petani yang memastikan makanan itu wujud.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad, menegaskan bahawa petani berada dalam kedudukan paling rapuh dalam rantaian ekonomi makanan, tanpa gaji tetap, tanpa perlindungan majikan, dan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan yang semakin terhimpit oleh kos.

“Pekerja ada gaji. Petani tiada. Tapi petanilah yang bagi semua orang makan,” katanya dalam satu himpunan sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.

Beliau turut menolak naratif bahawa isu kos sara hidup hanya boleh diselesaikan melalui kenaikan gaji semata-mata. Menurutnya, selagi struktur harga makanan dan kos pertanian tidak diperbaiki, tekanan akan terus dipindahkan kepada petani.

Fitri mendakwa wujud ketidakseimbangan serius dalam sistem semasa apabila kos pengeluaran meningkat, tetapi harga jualan hasil pertanian ditekan rendah.

Katanya, keadaan ini bukan berpunca daripada pengguna atau pekerja, sebaliknya daripada struktur pasaran yang dikuasai pihak berkepentingan besar.

“Bila gaji rendah, rakyat tak mampu beli makanan mahal. Bila harga ditekan, petani yang terhimpit. Akhirnya, dua-dua kalah,” ujarnya.

Beliau juga membangkitkan isu kawalan korporat terhadap benih, tanah dan input pertanian lain yang didakwa semakin menyempitkan ruang kebebasan petani.

Dalam ucapannya, Fitri turut menggesa penolakan terhadap satu konvensyen antarabangsa berkaitan benih tanaman yang menurutnya boleh memberi kesan jangka panjang kepada kedaulatan makanan negara.

Beliau memberi amaran bahawa kawalan terhadap benih oleh pihak luar berpotensi menjejaskan kemampuan negara mengawal sumber makanannya sendiri.

Ucapan beliau diakhiri dengan laungan yang menggambarkan mesej utama perjuangannya, bahawa peranan petani tidak boleh lagi dipandang remeh dalam wacana ekonomi negara.

“Tanpa petani, tiada makanan. Tanpa makanan, tiada kehidupan. Ujarnya.

Kenyataan itu sekali gus mencabar naratif arus perdana sambutan Hari Pekerja, dengan mengangkat persoalan lebih besar: siapakah sebenarnya tulang belakang kepada kelangsungan hidup rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share