
KUALA LUMPUR, 24 Sep 25 – Penjimatan subsidi petrol RON95 dijangka jauh lebih rendah daripada sasaran awal apabila kerajaan menganggarkan hanya sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun dapat dikurangkan berbanding jangkaan asal sebanyak RM8 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perbezaan itu berpunca daripada keputusan kerajaan mengekalkan subsidi kepada semua warganegara tanpa had pendapatan melalui program Budi95.
“Walaupun jumlah penjimatan berkurang, setiap nilai yang dapat dijimatkan tetap bermakna kerana boleh digunakan untuk mengurangkan defisit fiskal atau menampung keperluan lain negara,” katanya semasa taklimat bersama media di Shah Alam, Selangor, semalam.
Kerajaan sebelum ini merancang subsidi bersasar yang dijangka memberi ruang fiskal lebih besar, namun langkah melibatkan semua rakyat dianggap lebih sesuai dalam suasana kos sara hidup yang masih tinggi.
Hanya warganegara Malaysia layak menikmati subsidi ini, manakala bukan warganegara dikecualikan bagi mengurangkan risiko penyeludupan. Data penerima disemak melalui Jabatan Pendaftaran Negara dan sistem Padu, namun pelaksanaannya tidak bergantung sepenuhnya pada sistem berkenaan.
Amir Hamzah mengakui wujud kebimbangan subsidi turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, tetapi kerajaan memilih pendekatan inklusif sebagai jalan tengah yang lebih praktikal pada masa ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.