
SEREMBAN |6 Mei 26 — Pelantikan Muhammad Faris bin Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 kini mencetuskan polemik apabila Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong menegaskan pelantikan tersebut adalah tidak sah dan bercanggah dengan aturan adat.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, pihak lembaga menegaskan bahawa pelantikan Undang Luak Sungai Ujong perlu melalui proses adat yang ketat, termasuk mendapat persetujuan sebulat suara daripada ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir serta sokongan penuh Dato’-Dato’ Lembaga Adat.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Muhammad Faris didakwa tidak memenuhi syarat asas tersebut, malah tidak mendapat pengesahan daripada struktur adat yang sah dalam Luak Sungai Ujong.
“Pelantikan ini tidak sah kerana tidak melalui persetujuan sebulat suara ibu soko dan Dato’-Dato’ Lembaga Adat, serta tidak diisytiharkan oleh pihak yang berautoriti,” tegas kenyataan berkenaan.
Dalam masa sama, lembaga turut memaklumkan bahawa YM Sazali bin Mohamed Yasin adalah individu yang sah sebagai Undang Luak Sungai Ujong, dilantik pada 1 April 2025 dan telah mendapat pengesahan rasmi daripada Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Individu Dipecat Masih ‘Bersuara’ Cetus Persoalan
Kenyataan itu turut menyentuh mengenai beberapa individu yang didakwa telah dipecat daripada struktur adat, namun masih mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan tersebut.
Antaranya termasuk Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman bin Abdul Malek yang didakwa telah dipecat pada 20 Mac 2026, serta Zainol Ariffin bin Ibrahim yang dilaporkan telah dipecat lebih awal pada November 2024.
Menurut lembaga, mana-mana kenyataan yang dikeluarkan oleh individu-individu berkenaan tidak lagi mempunyai sebarang kedudukan atau autoriti dalam menentukan hal ehwal adat di Luak Sungai Ujong.
‘Telaga Undang’ Bukan Lagi Rujukan Sah
Dalam perkembangan sama, lembaga turut menjelaskan bahawa “Telaga Undang” yang dikaitkan dengan kenyataan tertentu bukan lagi pusat rujukan sah, susulan penutupan rasmi lokasi tersebut pada 28 November 2024.
Sehubungan itu, sebarang kenyataan yang dikaitkan dengan tempat berkenaan disifatkan sebagai tidak mempunyai asas dalam struktur adat semasa.
Seruan Elak Kekeliruan Awam
Mengakhiri kenyataan, Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong menyeru semua pihak agar merujuk kepada saluran yang sah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Mereka turut menegaskan kesetiaan kepada YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang sah, dan menolak sebarang bentuk pelantikan yang tidak mematuhi aturan adat yang ditetapkan.
Krisis Adat di Negeri Sembilan terus berlarutan, ia bermula apabila Empat Undang mengadakan sidang media mengumumkan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.