
ALOR SETAR | 9 Mei 26 — ADUN Sungai Tiang merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Kedah, Abdul Razak Khamis mendakwa wujud layanan berbeza dalam tindakan disiplin yang diambil terhadap wakil rakyat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Menurut beliau, terdapat kes melibatkan tuduhan yang hampir sama namun hukuman yang dikenakan berbeza sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti.
Beliau percaya keadaan itu berlaku kerana Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bimbang kehilangan lebih ramai sokongan wakil rakyat.
“Saya percaya mana-mana wakil rakyat terutamanya Ahli parlimen yang tidak dipecat adalah kerana Tan Sri Muhyiddin bimbang akan kehilangan lebih ramai wakil rakyat.
“Mungkin beliau sedar bahawa tidak ramai wakil rakyat yang benar-benar menyokong beliau ketika ini,” dakwanya ketika dihubungi Politiko.
Abdul Razak berkata, tindakan disiplin dalam parti juga dilihat seolah-olah hanya formaliti selepas keputusan tertentu dibuat lebih awal.
“Kadang-kadang keputusan itu seperti sudah ada. Yang di sekeliling pula hanya melengkapkan proses sahaja,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui pemecatan yang dikenakan terhadapnya memberi kejelasan terhadap kedudukannya ketika ini.
Menurut beliau, statusnya kini adalah sebagai wakil rakyat bebas yang masih menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Saya masih lagi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional kerana saya bertanding menggunakan tiket PN,” katanya.
Abdul Razak turut menjelaskan bahawa pelantikannya sebelum ini sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Kedah dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat PN dan bukannya mewakili Bersatu secara eksklusif.
“Pelantikan saya dibuat oleh Menteri Besar atas kapasiti saya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional, bukan semata-mata wakil rakyat Bersatu,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedudukan semasanya telah diketahui Menteri Besar Kedah dan menyerahkan kepada kepimpinan negeri untuk menentukan sama ada beliau akan terus dikekalkan dalam jawatan tersebut atau sebaliknya.
Semalam, seberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan tindakan disiplin melibatkan pemecatan, penggantungan dan amaran.
Senarai yang dipecat seramai tiga orang iaitu Dzowahir Ab Ghani – ADUN Suka Menanti, Abdul Razak Khamis – ADUN Sungai Tiang dan Muhammad Faiz Rahmad – Timbalan Ketua Armada Nasional
Sementara itu, enam pemimpin dikenakan tindakan penggantungan seramai enam orang iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Khalib Abdullah – Ahli Parlimen Rompin, Nordin Ahmad Ismail – Ahli Parlimen Lumut, Datuk Rosol Wahid – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain – ADUN Chenderoh, Ahmad Man – ADUN Kuala Sepetang.
Dalam masa sama, tiga lagi pemimpin diberikan amaran iaitu Roslan Hashim – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Kalam Salan – Ahli Parlimen Sabak Bernam, Zakri Hassan – Ahli Parlimen Kangar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.