
KUALA LUMPUR | 9 Mei 26 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla menegaskan cadangan supaya penternak babi di Selangor memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar titah Sultan Sharafuddin Idris Shah menunjukkan kegagalan memahami asas Perlembagaan dan sistem urus tadbir negara.
Menurut beliau, semakan kehakiman hanya boleh dibuat terhadap keputusan kerajaan atau pihak berkuasa awam, bukannya terhadap titah Sultan secara langsung sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu.
“Di sinilah timbul percanggahan dalam hujah tersebut. Pada satu pihak mereka mendakwa Sultan tidak mempunyai kuasa dalam urus tadbir negeri, tetapi dalam masa sama mahu titah Sultan dicabar melalui semakan kehakiman.
“Kalau Sultan dikatakan tidak mempunyai kuasa, maka titah baginda bukanlah keputusan kerajaan. Jika bukan keputusan kerajaan, maka ia tidak memenuhi syarat asas untuk semakan kehakiman,” katanya.
Haniff berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ahli Exco Selangor, Ronnie Liu yang mencadangkan penternak babi membawa isu tersebut ke mahkamah.
Menurut Haniff, sehingga kini belum wujud sebarang keputusan rasmi daripada kerajaan negeri Selangor atau kerajaan Persekutuan yang menjadikan perkara berkenaan sebagai dasar pentadbiran negeri.
“Melainkan kerajaan secara rasmi memutuskan untuk melaksanakan titah tersebut sebagai dasar kerajaan, barulah ia mungkin boleh dicabar di mahkamah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan ramai pihak masih gagal memahami kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem negara.
Katanya, Malaysia bukan negara yang meletakkan institusi diraja sekadar simbolik seperti di England, sebaliknya kuasa negara bergerak dalam kerangka Perlembagaan yang menjadikan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan sebagai sumber autoriti negara dan negeri.
“Perdana Menteri, Menteri Besar dan anggota kerajaan hanya boleh menjalankan kuasa selepas dilantik oleh Agong atau Sultan,” katanya.
Haniff turut menjelaskan bahawa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri mempunyai tanggungjawab memelihara kedudukan Islam, selain mempunyai peranan dalam urusan tanah yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
Beliau berkata titah Sultan Selangor dalam isu tersebut tidak melarang orang bukan Islam makan babi atau menghalang import babi ke negeri itu, sebaliknya hanya menyentuh soal penternakan babi dan penggunaan tanah negeri.
Mengulas tindakan mempertikaikan titah Sultan secara terbuka, Haniff menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak beradab dan boleh membawa kepada unsur penderhakaan terhadap institusi diraja.
“Jika tidak bersetuju, cara yang betul ialah memohon menghadap dan menyampaikan pandangan secara beradab dan penuh takzim, bukannya membuat kenyataan terbuka seolah-olah Sultan tidak mempunyai bidang kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dalam pentadbiran negara dan negeri supaya memahami struktur Perlembagaan dengan betul sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi diraja.
Baru-baru ini, media online Malaysia.TV melaporkan bahawa bekas wakil rakyat DAP Ronnie Liu mencadangkan agar penternak babi di Selangor mempertimbangkan tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman susulan kemelut larangan aktiviti penternakan tersebut di negeri itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.