Krisis PN Perlis: “Ada Sesuatu Yang Tidak Betul Di Peringkat Tertinggi PN” – Ahli MPT Bersatu

KUALA LUMPUR, 29 DIS 25 — Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui berasa marah, terkilan dan sedih susulan kemelut politik yang melanda Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan situasi itu sebagai petunjuk jelas kelemahan pengurusan di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata perasaan bercampur baur yang dialaminya turut dirasai oleh ramai ahli dan akar umbi parti yang tertanya-tanya mengenai hala tuju PN ketika ini.

“Ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional. Kemelut ini jelas menggambarkan kelemahan pengurusan kepimpinan tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Bersatu dan ahlinya tetap menghormati PAS sebagai rakan perjuangan, selain menolak anggapan bahawa PN dimiliki oleh mana-mana parti secara bersendirian.

“Perikatan Nasional bukan milik peribadi dan bukan juga hak Bersatu atau PAS. Ia adalah hak bersama. PAS mempunyai kedudukan yang sama dengan Bersatu dan tidak berada di bawah Bersatu,” katanya.

Dr Mohd Yadzil turut mengingatkan bahawa PAS, sebagai parti pengasas PN bersama Bersatu, tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam menghadapi krisis semasa dan perlu memainkan peranan besar untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.

“PAS tidak boleh lari daripada masalah. Meninggalkan PN bukan penyelesaian kepada semua isu,” katanya sambil menyeru kepimpinan PAS supaya lebih lantang dan tegas bersuara dalam menegakkan kebenaran demi menyelamatkan gabungan itu.

Menurut beliau, semua parti mempunyai masalah tersendiri, namun jika PN benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa ia mampu memimpin kerajaan pada masa depan, proses pembaikan perlu bermula dari dalam gabungan itu sendiri.

“Perikatan Nasional perlu menjadi medan muafakat penyatuan ummah. Perbezaan pendapat itu perkara biasa, tetapi orang Melayu tidak boleh terus bergaduh dan mesti bersatu,” katanya.

Beliau menyifatkan krisis yang berlaku sebagai satu ‘wake-up call’ kepada semua pihak, dan bukannya penamat kepada hubungan serta persahabatan politik dalam PN.

Dr Mohd Yadzil turut menegaskan bahawa penyelesaian kemelut itu hanya boleh dicapai melalui musyawarah, termasuk dengan mengadakan mesyuarat Perikatan Nasional secara segera bagi mencari jalan keluar terbaik.

“Saya yakin masih ada ruang untuk menyelamatkan Perikatan Nasional sebelum terlambat. Insya-Allah, pahit akan manis akhirnya,” katanya.

Semakin ramai pihak mengkritik kepimpinan Bersatu khususnya Muhyiddin berhubung kemelut politik yang berlaku di Perlis. Mantan MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga tampil mengkritik kepimpinan Muhyiddin yang dianggap gagal sebagai pemimpin dalam menangani kemelut di Perlis. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share