
KUALA LUMPUR | 10 Mei 26 — Sebuah NGO masyarakat India, Perpaduan Pertubuhan Puratchi (Puratchi), menyatakan sokongan kepada Hamzah Zainudin dan kesediaan bekerjasama dengan beliau menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, K Umagandhan berkata pertubuhan itu telah mengadakan pertemuan dengan Hamzah dan melihat bekas Timbalan Presiden Bersatu itu mempunyai masa depan dalam politik negara.
“Kami telah memutuskan untuk bergerak ke arah politik utama. Kami akan bentuk sebuah parti bersama Hamzah,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, semalam.
Menurut beliau, Puratchi mempunyai lebih 12,000 ahli di seluruh negara dengan cawangan di 10 negeri.
Beliau berkata, pertubuhan itu buat masa ini tidak bercadang menubuhkan parti politik sendiri, namun bersedia menjadi platform sokongan kepada gerakan politik yang bakal dipimpin Hamzah.
“Walaupun Hamzah kini tidak mempunyai parti selepas dipecat, kami percaya dia mempunyai masa depan,” katanya.
Umagandhan turut memaklumkan bahawa kira-kira 4,000 ahli Puratchi kini berada dalam pelbagai parti politik sedia ada.
Hamzah dipecat daripada BERSATU pada Februari lalu susulan konflik dalaman parti. Sejurus pemecatan tersebut, beliau melancarkan gerakan RESET yang membawa tema perjuangan untuk menyatukan suara rakyat bersama barisan pembangkang.
Puratchi sebelum ini aktif membawa isu berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan masyarakat India. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.