
PORT DICKSON | 12 Mei 26 — Bekas pemimpin BERSATU, Badrul Hisham Shaharin menyindir tindakan Tun Faisal Ismail Aziz yang terus memainkan isu jawatan Ketua Pembangkang walaupun bukan Ahli Parlimen.
Menurut Chegu Bard, rakyat ketika ini sedang berdepan pelbagai tekanan hidup dan isu ekonomi, namun perhatian terus dialihkan kepada polemik dalaman pembangkang yang disifatkannya sebagai “isu bodoh”.
“Rakyat ada banyak masalah dan tekanan kehidupan. Banyak isu rejim yang perlu dibangkitkan.
“Tetapi dalam masa sama, geng-geng tertentu seperti Muhyiddin, Azmin dan Tun Faisal tidak berhenti-henti mengalihkan perhatian rakyat melihat Perikatan Nasional dengan isu-isu bodoh macam (isu) Ketua Pembangkang,” katanya kepada politiko.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Tun Faisal yang lantang mengkritik kedudukan Hamzah Zainudin sedangkan perkara itu sepatutnya diputuskan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang sendiri.
“Isu siapa jadi Ketua Pembangkang, biarlah ahli Parlimen pilih.
“Tun Faisal ni bukan ahli Parlimen pun, jadi dia bising pasal apa?” katanya.
Chegu Bard turut mendakwa kumpulan tertentu dalam BERSATU lebih gemar mencetuskan konflik dalaman berbanding memberi fokus kepada perjuangan rakyat.
Katanya, budaya dalam parti kini hanya memberi ruang kepada kelompok yang “pandai menjilat”, manakala mereka yang memberi teguran untuk memperkukuh parti pula disingkirkan.
Dalam masa sama, beliau memuji pendekatan Ahmad Samsuri Mokhtar yang menurutnya lebih terbuka dalam mengurus kepimpinan pembangkang.
“Saya melihat Dr Sam agak terbuka. Mungkin ada kelemahan daripada segi lenggok politik, tetapi daripada segi teknokrat dan pentadbiran, beliau tidak boleh dipertikaikan,” katanya lagi.
Chegu Bard turut mendakwa Perikatan Nasional kini “dibebankan” oleh konflik dalaman Bersatu yang menurutnya semakin menjauhkan gabungan itu daripada fokus sebenar untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
baru-baru ini, Media Berita KS melaporkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan status Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang didakwa masih memegang jawatan Ketua Pembangkang walaupun sudah dipecat daripada parti itu sejak tiga bulan lalu.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata jawatan Ketua Pembangkang tidak wajar terus disandang Ahli Parlimen Larut itu kerana beliau kini berstatus Ahli Parlimen Bebas. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.