Tarik Subsidi T20: Muqharabbin, Asyraf Wajdi Peringat Kerajaan Sasar T20 Tak Realistik

KUALA LUMPUR | 12 Mei 26 — Penggerak RESET Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mempersoalkan cadangan kerajaan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan T20 dengan menyifatkan pendekatan itu sebagai tidak realistik dan berpotensi memberi kesan rantaian kepada ekonomi rakyat.

Menurut beliau, golongan berpendapatan tinggi bukan musuh negara sebaliknya turut memainkan peranan besar sebagai pembayar cukai, pencipta pekerjaan dan penggerak ekonomi tempatan.

“Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya rakyat biasa. Tetapi cadangan mengarut apa lagi nak dibuat?

“Golongan T20 ke M40 ke, mereka ini bukan warga asing. Mereka juga rakyat Malaysia, pembayar cukai tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata alasan mahu mengelakkan penyeludupan subsidi kini dilihat semakin melebar sehingga mewujudkan “kasta ekonomi” dalam kalangan rakyat sendiri.

“Takkan nak suruh orang kaya isi minyak sampai mereka jadi miskin?

“Mereka bayar cukai, bayar gaji pekerja, tanggung kos pengangkutan dan berniaga. Jangan sampai tekanan ini menyebabkan mereka terpaksa buang pekerja atau kecilkan operasi,” katanya lagi.

Muqharabbin turut mengingatkan bahawa ramai dalam kelompok T20 hari ini pernah melalui fasa kesusahan sebelum berjaya membina kehidupan sendiri.

Katanya, kegagalan memahami realiti sebenar kelompok itu hanya akan menyebabkan dasar subsidi bertukar menjadi beban baharu kepada ekonomi negara.

Pandangan itu dilihat selari dengan kenyataan Asyraf Wajdi Dusuki yang turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu mudah mentafsir kategori T20 dan M40 hanya berdasarkan angka pendapatan kasar isi rumah.

Menurut beliau, pendapatan RM13,000 sebulan di bandar besar seperti Kuala Lumpur tidak semestinya menggambarkan kehidupan mewah, khususnya bagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.

“Hati-hati menafsir kategori T20 atau M40. Pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar seperti KL, anak lima orang masih bersekolah dan universiti boleh jatuh ke M40, bahkan B40,” katanya memetik laporan media.

Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat berkata faktor kos sara hidup, jumlah tanggungan dan lokasi tempat tinggal perlu diambil kira sebelum sesuatu keluarga dilabel sebagai golongan berpendapatan tinggi.

Isu rasionalisasi subsidi bahan api kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan memberi bayangan untuk menambah baik kaedah pemberian subsidi supaya lebih bersasar menerusi perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). @sumber/politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share