Muhammad Affan: Wajah Baharu PN Sabah Dengan Agenda Kebajikan dan Integriti Politik

KOTA KINABALU, 11 NOV 25— Calon muda Perikatan Nasional (PN), Muhammad Affan bin Jumahat, muncul sebagai antara wajah baharu politik Sabah yang mahu membawa perubahan berasaskan integriti, kebajikan rakyat dan perjuangan memartabatkan hak negeri di bawah semangat Sabah for Sabahan.

Affan, 38, yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Armada Negeri Sabah, Ketua Pemuda PN Sabah dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, menegaskan bahawa PN tampil dengan calon-calon bersih tanpa sebarang rekod rasuah atau skandal integriti — sesuatu yang menurutnya menjadi asas penting dalam menawarkan kepimpinan alternatif kepada rakyat.

“Boleh dikatakan semua calon PN ini muka-muka baru, muka fresh. Kita tidak ada permasalahan daripada aspek integriti atau rekod rasuah. Itu menjadi keutamaan kita sebagai calon PN,” katanya ketika dihubungi selepas pengumumannya sebagai calon PN.

Beliau turut menegaskan, sikap PN yang enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mencerminkan pendirian moral parti yang jelas menolak penggabungan dengan pemimpin yang berdepan pertuduhan mahkamah atau isu moral.

“Kita di peringkat pusat sanggup tidak membentuk kerajaan bersama PH kerana kita tidak mahu bergabung dengan pemimpin yang ada masalah mahkamah atau skandal. Manifesto PN menekankan kepimpinan yang benar-benar mengurus kebajikan rakyat,” tegasnya.

Akar yang Kukuh dan Fokus pada Kebajikan Rakyat

Bersama komuniti Tanjong Kapur memberi bantuan

Affan yang diumumkan bertanding di N04 Dun Tanjong Kapor, telah lebih lima tahun menumpukan gerak kerja politiknya di kawasan tersebut. Beliau berkata, fokus kempen kali ini adalah kebajikan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pembangunan fizikal.

“Selama lima hingga enam tahun saya berjuang di Tanjong Kapor, saya lihat masalah utama bukan jalan raya atau pembangunan, tapi kebajikan rakyat. Ramai bumiputera di sini yang masih terkesan selepas puluhan tahun,” jelasnya.

“Kali ini kita mahu melahirkan kepimpinan daripada orang kita bumiputera Sabah, yang memahami penderitaan rakyat dan memperjuangkan nasib mereka,” tambah beliau.

Selain menjadi aktivis masyarakat, beliau juga aktif dalam kegiatan sosial melalui peranannya sebagai Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Islam Negeri Sabah (PERKEBAS) dan Pengerusi Kelab Belia Inspirasi Kudat serta Pitas.

Antara sumbangan beliau termasuk membantu mangsa banjir dan kebakaran, mengagihkan bakul makanan ketika pandemik COVID-19, serta menganjurkan program sukan akar umbi seperti bola sepak, sepak takraw dan bola tampar di kawasan pedalaman.

Selain politik dan sosial, Affan juga seorang usahawan tani dan peladang mengusahakan ternakan balat di Pulau Banggi, perusahaan sarang burung walit di Pitas, serta rangkaian kafetaria sekolah dan universiti.

Sabah for Sabahan dan Hak Negeri

Affan bersama penduduk setempat menyantuni masyarakat

Affan menegaskan, PN di Sabah turut menyokong laungan Sabah for Sabahan, namun bukan sekadar retorik, sebaliknya sebagai perjuangan untuk memperkukuh hak negeri dalam kerangka federalisme.

“Laungan itu membawa naratif isu-isu Sabah dan penting untuk kita mengangkat martabat orang Sabah yang bertanding atas tiket parti nasional seperti PN. Kita mahu semangat federalisme dijadikan panduan supaya Sabah mendapat hak 40% hasil minyak secara betul dan sistematik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun PN tidak membentuk gabungan rasmi dengan parti tempatan, satu “electoral pact” dengan beberapa parti Sabah sedang dirangka dan akan diumumkan apabila tempoh kempen bermula.

Dilahirkan pada 6 Mac 1987 di Kota Kinabalu, Muhammad Affan merupakan graduan Ijazah Kepujian Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Gabungan antara latar belakang akademik, pengalaman politik, dan penglibatan aktif di akar umbi menjadikan Muhammad Affan antara calon muda PN Sabah yang membawa imej “politik bersih” — menolak elitisme lama, memperjuangkan hak negeri, dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai nadi perjuangannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share