
KUALA LUMPUR | 12 Mei 26 – Seorang pemimpin PAS secara terbuka memberi bayangan bahawa Perikatan Nasional (PN) mungkin lebih baik tanpa BERSATU susulan kemelut dalaman yang terus melanda parti itu.
ADUN Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, melontarkan kenyataan pedas terhadap keadaan semasa BERSATU yang menurutnya semakin hilang arah dan roh perjuangan.
Dalam hantaran di media sosial, beliau mendakwa satu demi satu pemimpin “disembelih” demi memastikan kuasa terus kekal di tangan pihak tertentu.
“Disembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa. Parti yang namanya Bersatu sekarang hanya tinggal parti yang sudah tiada roh,” katanya.
Kenyataan itu dilihat antara kritikan paling keras daripada pemimpin PAS terhadap rakan komponennya sendiri dalam PN, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hubungan sebenar antara kedua-dua parti ketika ini.
Lebih mengejutkan, Fakhruddin turut memberi bayangan bahawa kehadiran BERSATU dalam PN mungkin tidak lagi memberi nilai tambah kepada gabungan pembangkang tersebut.
“Kalau dah macam ni molek Bersatu keluar je dari PN,” katanya lagi.
Beliau turut menggunakan bahasa sinis dan puitis bagi menggambarkan keadaan Bersatu yang didakwanya semakin hilang pengaruh dalam politik negara.
“Hadirnya seperti bayang senja, hilang tanpa kesan, lenyap tanpa bekas.”
Kenyataan tersebut hadir ketika Bersatu berdepan pelbagai spekulasi dalaman melibatkan kepimpinan parti, isu kesetiaan pemimpin serta pertikaian berkaitan hala tuju politik pembangkang.
Ia juga menguatkan persepsi bahawa keretakan dalam PN semakin ketara, khususnya apabila pemimpin PAS sendiri mula mempertikaikan peranan dan masa depan Bersatu dalam gabungan itu.
BERSATU telah memecat sejumlah besar pemimpin mereka bermula dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor hinggalah Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin berjumlah 17 orang kesemuanya. Angka tersebut bertambah beberapa hari kebelakangan ini apabila beberapa ADUN yang lain dipecat termasuk penggantungan beberapa lagi orang Ahli Parlimen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.