Sanusi Tegas Isu Pulau Pinang: Dakwaan Cabar Perlembagaan Hanya Helah DAP

KUALA LUMPUR, 15 NOV 25 — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi menegaskan bahawa tuntutan Kedah berhubung kedudukan Pulau Pinang bukanlah tindakan mencabar Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa pihak tertentu, khususnya wakil rakyat DAP.

Sanusi berkata dakwaan itu sengaja dimainkan bagi membentuk persepsi negatif, sedangkan beliau sejak awal menasihatkan supaya perkara tersebut dirujuk kepada mahkamah.

“Isu Pulau Pinang ini diperkata saya cabar Perlembagaan. Saya bukan cabar Perlembagaan. Mula-mula saya cakap, kalau tak puas hati, pergi mahkamah. Apa bising-bising? Cakap banyak apa? Pergi mahkamah,” katanya ketika berucap di Dewan Undanga Negeri, Kedah.

Beberapa pemimpin DAP sebelum ini menuduh tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghidupkan semula tuntutan terhadap Pulau Pinang sebagai cubaan mencabar struktur persekutuan dan menjejaskan keharmonian antara negeri.

Sanusi menolak tuduhan itu, menyifatkannya sebagai cubaan mengalih perhatian daripada fakta sebenar.

“Sekarang saya maklumkan proses untuk bawa ke mahkamah, dia pun marah juga. Saya kata, apa ni? Mahu apa sebenarnya? Dalam surat pun saya tanya, apa yang kamu sebenarnya mahu?” katanya.

Dalam ucapannya, Sanusi turut mengaitkan tuntutan itu dengan Kedah kehilangan wilayahnya akibat tekanan kuasa luar, dan menyatakan bahawa perjuangan tersebut diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Saya ini anak cucu kepada pejuang negeri ini. Saya yakin, ketika kerajaan dulu lemah, diserang dan dicengkam kuasa besar, di hati kecil mereka tentu ada harapan satu hari nanti anak cucu akan bangkit menuntut kembali apa yang hilang,” ujarnya.

Menurutnya, perjuangan itu akan diteruskan tanpa gentar sehingga kebenaran ditegakkan.

“Kamilah anak cucu itu. Kami tidak gentar, kami tidak takut. Perjuangan ini akan diteruskan sampai kebenaran muncul — sama ada kami menang atau kami mati,” katanya tegas.

Isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang kembali menjadi polemik nasional apabila kenyataan Sanusi menyebabkan pemimpin kerajaan terutama dari DAP menuduhnya mencabar Perlembagaan. Sanusi bagaimanapun menegaskan bahawa mahkamah adalah tempat paling tepat untuk menentukannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share