
KUALA LUMPUR | 13 Mei 26 – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menegur Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kontroversi ceramahnya yang didakwa menyentuh fakta sejarah berkaitan para sahabat Rasulullah SAW secara tidak tepat.
Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya mengakui Nik Zawawi menyampaikan fakta berdasarkan beberapa pandangan tertentu, namun menegaskan penyampaian berkaitan tokoh besar Islam perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
“Kita juga telah menegur dan memberi peringatan secara dalaman kepada Nik Muhammad Zawawi agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan Sahabat Rasulullah,” katanya dalam kenyataan.
Kontroversi itu tercetus selepas ucapan Nik Zawawi dalam satu ceramah tular di media sosial apabila beliau menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam. Beberapa pihak mendakwa terdapat fakta sejarah yang diputar belit dan tidak disandarkan kepada riwayat yang sahih. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.