
KUALA LUMPUR | 29 Jun 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula perancangan pembangunan sekolah di kawasan Tasek Gelugor susulan pertumbuhan pesat kawasan perumahan yang tidak disertai pembinaan sekolah baharu.
Menurut beliau, Tasek Gelugor kini menyaksikan kemunculan beberapa bandar baharu dengan ribuan unit rumah telah dibina, sekali gus meningkatkan jumlah penduduk dan keluarga muda yang mempunyai anak-anak bersekolah.
Bagaimanapun, beliau berkata kemudahan pendidikan tidak berkembang seiring dengan pembangunan tersebut sehingga menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kesukaran setiap hari.
“Di beberapa kawasan perumahan baharu, bilangan keluarga muda yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah juga meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful berkata keadaan paling ketara berlaku di Ara Kuda, apabila penduduk terpaksa menghantar anak ke sekolah yang terletak jauh dari kawasan kediaman.
Menurutnya, ada ibu bapa yang terpaksa menunggang motosikal lebih 30 minit sehala untuk menghantar anak ke sekolah, manakala sebahagian lagi terpaksa mendaftarkan anak di sekolah di Lunas, Kedah walaupun menetap di Pulau Pinang.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai petunjuk bahawa perancangan pembangunan tidak diseimbangkan dengan penyediaan kemudahan pendidikan yang mencukupi.
Wan Saiful berkata jawapan bertulis yang diterimanya daripada KPM menunjukkan kerajaan ketika ini hanya merancang menambah bilik darjah di sekolah sedia ada.
Namun, menurut beliau, langkah itu tidak menyelesaikan keperluan sebenar penduduk yang memerlukan pembinaan sekolah baharu berhampiran kawasan perumahan.
“Keperluannya ialah membina sekolah baharu di kawasan perumahan baharu, bukannya sekadar menambah kelas di sekolah sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPM menilai semula keperluan pembinaan sekolah di Tasek Gelugor agar pembangunan infrastruktur pendidikan bergerak seiring dengan pertumbuhan kawasan kediaman.
Katanya, akses kepada pendidikan yang lebih dekat bukan sahaja dapat mengurangkan beban ibu bapa, malah memastikan anak-anak di Tasek Gelugor mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan berkualiti selaras dengan pertumbuhan pesat kawasan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.