“Guna Tahfiz Untuk Seludup UEC Masuk IPTA”, Kata Ketua Wirawati Putra

KUALA LUMPUR | 16 Mei 26 — Sayap wanita Parti PUTRA Malaysia, WIRAWATI Putra mendakwa kerajaan menggunakan institusi tahfiz sebagai “topeng politik” untuk melaksanakan agenda kemasukan UEC ke institusi pengajian tinggi awam secara senyap.

Ketua WIRAWATI Putra, Nurhafizah Jamaludin berkata, tindakan meletakkan pengumuman berkaitan tahfiz bersama UEC bukan satu kebetulan, sebaliknya strategi politik untuk mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, laluan pelajar tahfiz ke IPTA melalui SPM sudah lama wujud dan tidak pernah menjadi isu, namun perkara sebenar yang mahu dibawa kerajaan ialah membuka ruang kepada UEC memasuki universiti awam walaupun berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

“Masuk ke IPTA walau atas apa nama sekalipun tetap pengiktirafan. Tidak wujud istilah ‘bukan pengiktirafan’ apabila pintu universiti awam sudah dibuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa kerajaan sedang melaksanakan strategi berperingkat dengan memulakan kemasukan UEC melalui program tertentu sebelum diperluaskan pada masa depan.

Katanya, tindakan itu akan menghakis asas Dasar Pendidikan Kebangsaan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya meruntuhkan sistem sedia ada.

WIRAWATI Putra menegaskan isu tersebut bukan berkaitan kaum, sebaliknya melibatkan prinsip dan asas negara yang menetapkan Bahasa Melayu, Sejarah dan SPM sebagai teras sistem pendidikan nasional.

Dalam kenyataan sama, Nurhafizah turut membidas kerajaan kerana didakwa menggunakan tahfiz sebagai “perisai politik” bagi meredakan kemarahan orang Melayu terhadap isu UEC.

Beliau juga menegaskan keputusan itu merupakan tanggungjawab penuh Jemaah Menteri dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan.

“Kalau perkara sebesar ini pun Perdana Menteri tidak mampu pertahankan, rakyat berhak melihat beliau sebagai pemimpin yang lemah dan tunduk kepada tekanan politik,” katanya.

Kenyataan ini merupakan sejumlah kritikan yang meluas dikalangan ahli-ahli politik, pakar dan orang awam terhadap dasar terbaru kerajaan ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share