
ALOR SETAR | 17 Mei 26 — EXCO Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah menyifatkan tindakan membuka laluan kepada lepasan UEC ke institusi pengajian tinggi awam sebagai satu “hari hitam” kepada sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau menegaskan alasan kononnya langkah itu bukan pengiktirafan rasmi hanyalah permainan istilah yang mengelirukan rakyat.
“Amat memalukan dan mendukacitakan jika benar. Apa makna buka laluan, bukan pengiktirafan? Adalah jelas apabila sudah membuka laluan itu membawa makna sudah memberi pengiktirafan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Haim turut membidas sikap segelintir pegawai tertinggi pendidikan dan pentadbir universiti yang didakwa terlalu tunduk kepada tekanan politik sehingga gagal mempertahankan dasar pendidikan negara.
“Hentikan budaya mengampu. Jangan main politik dan jangan jadi alat orang politik. Buat kerja dengan penuh tanggungjawab, berani dan tegas,” katanya.
Menurut beliau, jawatan penting seperti ketua pengarah dan naib canselor sepatutnya dipikul dengan prinsip serta keberanian mempertahankan kepentingan negara bangsa, bukannya menjadi “budak suruhan” kepada mana-mana pihak berkepentingan politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa segala gaji dan kemudahan dinikmati penjawat jawatan utama pendidikan datang daripada wang rakyat, justeru mereka bertanggungjawab menjaga kepentingan sistem pendidikan nasional.
Dalam kenyataan sama, Dr Haim memberi amaran bahawa ahli akademik yang memilih untuk berdiam diri atau tunduk kepada tekanan politik akan dikenang dalam sejarah sebagai pihak yang mengkhianati bangsa dan pendidikan negara.
“Jika tidak mampu menjadi pembela, janganlah memilih untuk menjadi pengkhianat,” tegasnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pembukaan ruang kemasukan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sebagai pengiktirafan rasmi terhadap silibus UEC ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Azlinda Azman menegaskan, terdapat perbezaan besar antara kelayakan UEC dan sijil pelajaran di Malaysia, justeru laluan dengan syarat itu hanya bertujuan memberi akses pendidikan tinggi kepada pelajar terlibat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.